Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

Volkswagen telah menyiarkan imej-imej baharu untuk hatchback segmen-B Polo generasi keenam yang sebelum ini telah didedahkan pada Jun lalu. Gambar-gambar baharu ini memaparkan Polo Mk6 dalam varian standard, berbanding sebelum ini yang lebih menonjolkan versi R-Line dan Beats.

Volkswagen Polo generasi terkini berkenaan menampilkan badan yang lebih besar dari sebelum ini. Dibina di atas platform MQB A0 yang sama dengan Seat Ibiza generasi baharu, dimensinya diukur dengan 4,053 mm panjang, 1,751 mm lebar dan 1,446 mm tinggi. Jika dibandingkan dengan generasi Mk5, model baharu ini 81 mm lebih panjang, 94 mm lebih lebar dan 7 mm lebih rendah. Kerangka baharu berkenaan juga jauh lebih tegar dari sebelum ini tanpa apa-apa berat tambahan.

Polo generasi baharu direka dengan rupa yang lebih sporty dan tajam, dengan imej seperti Golf generasi terkini. Dengan badan yang lebih lebar dan rendah, lampu hadapan (juga terdapat dalam versi LED) diletakkan lebih rendah dari sebelum ini, manakala bentuk liang udara sisi menyerlahkan lagi kelebaran kereta tersebut.

Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

Untuk model Mk6 ini, Polo tidak lagi dihasilkan dalam versi tiga-pintu dan pembeli hanya ditawarkan dengan badan hatchback lima-pintu. Lampu belakang turut diberikan opsyen teknologi LED, manakala rim hatchback ini pula ditawarkan dengan 12 rekaan berbeza yang disediakan dalam diameter 14 hingga 18-inci. Bagi pilihan warna pula, 14 warna berbeza diletakkan pada brosur untuk dipilih oleh pembeli.

Masuk ke kabin, anda akan disajikan dengan papan pemuka serba baharu yang menampilkan rekaan menegak menggantikan rekaan melintang pada generasi sebelum ini bersama pilihan empat pilihan warna kemasan pad pemuka dan 11 pilihan balutan tempat duduk. Ia turut diberikan kluster instrumen digital yang lebih besar dengan skrin Active Info Display bersaiz 11.7-inci yang bukan sahaja lebih berdefinasi tinggi, malah menampilkan susunan lebih logik dari sistem-sistem Volkswagen sebelum ini.

Untuk sistem infotainmen, dua pilihan skrin disediakan iaitu 6.4-inci dan 8.0 inci (skrin paling besar turut diberikan pelindung kaca). Skrin ini juga turut boleh memaparkan informasi-informasi yang diambil dari Active Info Display. Pilihan lain yang turut ditawarkan termasuk App Connect dengan Mirrorlink, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem kunci pintar dengan suis penghidup, manakala model Beats turut menerima sistem audio berkuasa 300-watt.

Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

Bagi keselamatan dan teknologi pula, Polo baharu ini menerima Bantuan Hadapan bagi sistem pemantauan dengan Brek Kecemasan Bandar dan Pemantauan Pejalan kaki – standard untuk semua model Eropah. Manakala sistem Kawalan Kelajuan Adaptif ditawarkan sebagai pilihan, dengan fungsi Stop & Go. Selain itu, Pengesan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Belakang, juga Bantuan Parkir turut ditampilkan.

Untuk pilihan janakuasa pula, tiga enjin petrol 1.0 liter tiga-silinder ditawarkan semasa pelancarannya termasuk enjin NA dengan pilihan talaan sama ada 65 PS/95 Nm atau 75 PS (digandingkan hanya dengan kotak gear manual lima-kelajuan), dan juga enjin turbo TSI berkuasa 95 PS/175 Nm (turut diberi pilihan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan).

Manakala pada hujung tahun kelak, Polo Mk6 turut terdapat dalam versi 1.0 TSI berkuasa 115 PS/200 Nm dan juga 1.5 TSI empat silinder bersama sistem Active Cylinder Management (ACT) berkuasa 150 PS/250 Nm. Varian paling berkuasa GTI turut bakal ditawarkan – dijana enjin 2.0 liter TSI berkuasa 200 PS/320 Nm. Kesemua pilihan enjin ini ditawarkan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam-kelajuan atau DSG.

Selain petrol, Polo baharu ini turut menerima pilihan enjin diesel yang terdiri dari enjin 1.6 TDI dengan talaan 80 PS/250 Nm dan 95 PS, serta enjin 1.0 liter TGI yang digerakkan oleh gas asli menghasilkan kuasa 90 PS/175 Nm.

Volkswagen Polo Mk6 masih mengekalkan konfigurasi asal suspensi seperti generasi-generasi seterusnya iaitu topang McPherson pada bahagian hadapan, serta torsion beam bersama bar anti-oleng pada bahagian belakang. Pilihan suspensi sport turut disediakan bagi membolehkan badan kereta ini 15 mm lebih rapat ke permukaan tanah, yang turut boleh dipilih bersama penyerap hentak adaptif.

GALERI: Volkswagen Polo R-Line

GALERI: Volkswagen Polo Beats

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required