Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Februari lalu, Toyota Hilux GR Sport kini diberikan peningkatan kuasa, sementara harganya masih kekal RM169,080 tidak termasuk insurans dan menjadi varian paling tinggi bagi trak pikap tersebut.
Enjin diesel turbo 2.8 liter 1GD-FTV pada Hilux GR Sport ini telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa sehingga 224 PS (221 hp) pada 3,000 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm. Sebelum ini, kuasanya adalah sama dengan varian Rouge iaitu 204 PS (201 hp) pada 3,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm.
Melalui peningkatan ini, Hilux GR Sport pasaran Malaysia kini mempunyai kuasa yang sama seperti model pasaran Australia, tetapi masih belum mendapat kit badan agresif yang ditawarkan di sana. Bahagian lain seperti transmisi automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua roda separa masa, limited-slip differential automatik, pengunci differential belakang serta Active Traction Control (A-TRC) masih dikekalkan.
Varian lain Hilux turut tidak menunjukkan sebarang perubahan pada harga dan enjin, tetapi kesemuanya sekarang datang tag RFID secara standard. Senarai kelengkapan untuk barisan Hilux juga masih sama seperti sebelum ini.
GALERI: Toyota Hilux GR Sport
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.