Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

Seperti yang diumumkan minggu lalu, hari ini secara rasminya UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan tiga model GR sebenar dan dua model GR Sport baharu, dan salah satunya, ini dia – Toyota Hilux GR Sport! Menerusi trak pikap ini, UMWT dapat menambah lagi pilihan model GR Sport dalam pasaran tempatan selain Vios GR Sport yang telah dilancarkan pada Disember 2020 dan juga Corolla Cross GR Sport yang turut dilancarkan hari ini.

Kini Toyota Hilux GR Sport ini bukan sahaja menjadi varian Hilux paling sporty dan paling tinggi dari segi spesifikasi untuk pasaran Malaysia, malah ia juga merupakan varian paling mahal yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM159,880.

Toyota GR Sport pasaran Malaysia ini diasaskan dari model CKD Hilux Double Cab 2.8 Rogue 4X4 yang dijual pada harga RM152,880. Untuk rupa luaran, Hilux GR Sport ini dibezakan dengan gril baharu yang nampak sama seperti Hilux GR Sport pasaran Thailand. Kesemua overfender menerima kemasan warna badan, manakala perumah lampu kabus hadapan, cermin sisi dan juga sports bar pada bed belakang disudahkan dengan warna hitam berkilat.

Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

Hanya tiga warna badan ditawarkan untuk Toyota Hilux GR Sport ini iaitu Super White II, Attitude Black Mica dan Crimson Spark Red Metallic. Ia turut disertakan dengan pelekat badan dengan grafik hitam dan merah yang diinspirasikan dari livery perlumbaan rasmi kereta-kereta lumba Toyota Gazoo Racing.

Bagi melengkapkan rupa Hilux GR Sport ini, ia menerima rim aloi 18-inci dengan rekaan eksklusif serta diberikan kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar Highway Terrain (HT) bersaiz 265/60R18. Angkup brek model ini disembur dengan warna merah dan turut menampilkan logo GR.

Perincian lain yang dibawa dari Hilux Rouge ke GR Sport ini termasuk lampu projektor bi-LED automatik bersama lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, serta lampu isyarat membelok pada cermin sisi kawalan elektrik.

Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

Seperti Rogue, Hilux GR Sport ini dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8L empat silinder turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,800 rpm – tiada talaan kuasa sehingga 224 PS/550 Nm seperti yang diterima pada Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan dan Australia diberikan.

Kuasa juga masih dihantar pada kotak gear enam-kelajuan automatik dengan fungsi manual sequential, serta sistem 4WD yang boleh diaktif dan dinyahaktifkan ketika bergerak dengan menggunakan suis putar. Manakala gandar belakang dilengkapkan dengan LSD automatik, dan sistem pacuan ini turut berintegrasi dengan sistem Active Traction Control dan Diff Lock bagi memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik.

Walaupun tanpa bekalan kuasa lebih besar, Hilux GR Sport pasaran Malaysia ini masih diberikan talaan suspensi yang lebih sporty menerusi pemadanan penyerak hentak monotube dan pegas gegelung yang berbeza dari Hilux Rouge.

Menurut Toyota, talaan suspensi baharu ini menampilkan “daya redaman yang lebih tinggi dan keseimbangan antara suspensi hadapan dan belakang yang lebih baik, bagi memberikan pengendalian cemerlang, meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh serta respon stereng yang lebih tepat”.

Pada bahagian kabin, Hilux paling sporty ini menampilkan gaya lazim sebuah model GR dan GR Sport iaitu tema berwarna hitam bersama serlahan-serlahan panel dan jahitan benang merah. Ia hadir dengan tempat duduk yang berbeza dari Rouge, menampilkan struktur bagi memberikan rasa lebih sporty, balutan kombnasi kulit dan sued serta sulaman logo GR pada perehat kepala.

Pemandu menerima butang penghidup enjin GR, roda stereng GR dan buat pertama kali Hilux pasaran Malaysia diberikan pedal penukar gear, set pedal kaki aluminium serta paparan instrumen dengan meter Optitron bersama skrin pelbagai info TFT berwarna 4.2-inci yang memberikan animasi selamat datang GR.

Antara perincian lain yang dikongsi antara Hilux Rouge dan GR Sport adalah termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz X-inci dengan sokongan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara serta sistem pendingin hawa lengkap dengan liang penghembus untuk kabin belakang.

Untuk keselamatan, Hilux GR Sport dibekalkan dengan tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSC), cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix serta pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang.

Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) dari Rouge juga terus dibawa pada Hilux GR Sport ini, memberikan fungsi yang terdiri dari Pre- Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

Secara standard, Toyota Hilux GR ini dilengkapi dengan penderia parking belakang yang lengkap dengan kamera undur. Namun pembeli boleh memilih ciri opsyen Pemantau Pandangn Panaromik (PVM) yang memberikan visual 360-darjah menerusi empat kamera yang dipadankan di sekeliling badan trak pikap ini.

Toyota Hilux GR Sport ini datang dengan perlindungan waranti lima-tahun atau 150,000 km sama seperti varian Toyota Hilux yang lain. Namun untuk membeli Hilux GR Sport ini atau mana-mana model dengan logo GR lain, anda perlu datang ke pengedar yang mempunyai outlet GR Garage. Setakat ini hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

GR Garage diperkenalkan buat pertama kali di sini pada 2019 serentak dengan pelancaran GR Supra ke pasaran tempatan, dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan GR Garage di luar Jepun. Anda bukan sahaja boleh membeli model-model GR, peralatan prestasi GR dan juga cenderamata GR, malah GR Garage turut menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang berminat untuk membeli kereta untuk tujuan perlumbaan dan akan diberikan sekali sokongan dan bantuan servis selepas jualan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required