Toyota Hilux GR Sport telah didedahkan di beberapa pasaran seperti Thailand, Indonesia, Jepun dan Eropah, di mana kesemuanya boleh dikatakan hanya menerima tingkat taraf kosmetik. Memperkenalkan, Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia – ia bukan sahaja menampilkan rupa yang jauh lebih garang, malah lengkap dengan talaan semula pada suspensi, brek dan juga enjin yang lebih berkuasa!

Menurut Toyota, Hilux GR Sport 2023 ini merupakan model off-road halo buat jenama tersebut dan ia diispirasikan dari jentera rali Toyota Hilux yang bertanding dalam Rally Dakar, serta menampilkan pengendalian yang mudah diagak dan prestasi pemanduan yang berkuasa.

Untuk rupa luaran, Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia ini menampilkan rupa yang berbeza dari versi pasaran lain dan didakwa turut dibangunkan dengan terowong angin bagi memberikan fungsi aerodinamik lebih baik. Pada bahagian muka ia diberikan gril dengan skrip ‘Toyota’ pada kedudukan lebih tinggi dan kemasan sebelah bawah berbeza dengan ruang liang udara lebih banyak.

Bampar hadapan juga kelihatan jauh berbeza dengan perumah lampu kabus tidak bersegi dan panel skid plate yang lebih agresif dalam kemasan perak. Malah bampar hadapan Hilux GR Sport ini juga direka bagi memberikan sudut approach dan jarak kelegaan tanah yang lebih baik.

Logo eksklusif GR pula ditampal pada gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang. Malah logo GR yang besar juga dapat dilihat pada panel kemasan bed belakang.

Sama seperti Hilux Rogue 2022 pasaran Australia sebelum ini, Hilux GR Sport ini juga datang dengan overfender yang jauh lebih lebar dalam kemasan Satin Black, sekaligus memberikan rupa yang jauh lebih agresif. Ia bukan hanya untuk kosmetik semata-mata kerana suspensi Hilux GR Sport ini juga telah di ubah bagi memberikan jarak trek roda yang lebih lebar.

Ia dibuat dengan memadankan rekaan wishbone baharu pada sebelah hadapan dan juga gandar belakang yang lebih lebar dan diperkuat. Secara keseluruhan perubahan ini memberikan jarak trek roda hadapan dilebarkan sebanyak 140 mm dan belakang bertambah 155 mm.

Penyerap hentak juga diberikan perubahan dengan pemadanan unit monotube dengan daya redaman serta penyisihan haba lebih tinggi dan spring lingkaran lebih keras. Imbangan talaan suspensi hadapan dan belakang di optimalkan bagi memberikan pengendalian luar biasa. Kestabilan trak pikap ini juga dipertingkat menerusi sudut oleng yang dikurangkan dan ia turut memerikan respon stereng yang lebih tepat.

Menurut Toyota, talaan suspensi ini membolehkan pemandu “menikmati adrenaline kenderaan yang sporty tanpa mengorbankan keselesaan pemanduan setiap hari.”

Untuk menghentikan Hilux GR Sport ini, ia diberikan set brek hadapan yang lebih besar terdiri dari cakera berliang dengan angkup empat omboh dalam kemasan merah. Dan di belakang, brek dram pada Hilux biasa tidak lagi digunakan dan digantikan dengan brek cakera bersama angkup omboh tunggal yang turut diberi kemasan merah.

Set roda Hilux GR Sport ini pula terdiri dari set rim 17-inci dengan jejari berbeza dari Hilux biasa dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar All-terrain Bridgestone Dueler 265/65R17. Ia juga menerima kelengkapan ‘pertahanan’ tambahan untuk laluan off-road seperti skid plate sebenar di bawah ruang enjin, pemijak sisi logam dari jenis rock rail serta dua cangkuk penyelamat belakang dalam kemasan merah.

Toyota Hilux GR Sport 2023 ini masih dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder yang sama seperti Hilux pasaran lain termasuk Malaysia. Namun ia telah menerima talaan semula pada suntikan bahan api dan juga kemaskini yang dibuat pada pengecas turbo bagi mengerah 224 PS (165kW) pada takat 3,000 rpm dan tork maksima 550 Nm pada takat 2,800 rpm.

Ia adalah 10% lebih berkuasa berbanding kuasa asal pada kadar 204 PS dan tork maksima 500 Nm dan Toyota menyatakan bahawa ini adalah Hilux paling berkuasa pernah ditawarkan di Australia. Angka kuasa tersebut sebenarnya sama dengan Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan yang diperkenalkan tahun lalu.

Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, tetapi ia turut menerima talaan semula pada pemetaan dan kawalan lock-up bagi mengoptimakan penghantaran kuasa ke roda. Walau bagaimanapun, tiada sebarang catatan prestasi didedahkan untuk Hilux Gr Sport 2023 ini.

Toyota Hilux GR Sport ini menerima tema hitam monokromatik pada bahagian kabin. Ia juga diberikan perincian seperti roda stereng balutan kulit GR dengan penanda pukul 12 berwarna merah dan pedal penukar gear, set pedal aloi, tempat duduk sport dengan sulaman logo GR pada perehat kepala dan juga tali pinggang keledar berwarna merah.

“Hilux GR Sport menyerlahkan semangat kejayaan Toyota di Dakar sebagai hardcore 4WD yang akan menarik pelanggan yang mahukan versi off-road terunggul kenderaan paling laris di Australia,” kata naib presiden untuk jualan, pemasaran dan operasi franchise Toyota Australia, Sean Hanley.

“Ia telah direka bentuk untuk menarik perhatian dengan penggayaan yang agresif serta diperkuat dengan peningkatan prestasi, pengendalian ketika kelajuan tinggi yang dipertingkatkan dan cengkaman yang lebih baik pada jalan permukaan tanah.

“Terima kasih kepada penglibatan meluas pereka dan jurutera tempatan kami, Hilux GR Sport ialah kenderaan yang menyeronokkan untuk dipandu yang akan membawa keupayaan dan keseronokan baharu kepada gaya hidup pengembaraan pelanggan di Australia,” tambahnya.

Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia ini sememangnya dibangunkan oleh Toyota Australia, namun ia turut mendapat kerjasama dari pasukan jurutera Toyota dari Thailand, Jepun dan Amerika Latin.

Ia hanya dihasilkan dalam bentuk badan Double-Cab; harganya masih belum diumumkan dan dijangka akan dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan pada separa kedua 2023. Ok, sekiranya Hilux GR Sport 2023 ini dibawa ke Malaysia, mana pilihan anda – ini atau Ford Ranger Raptor?