Bagi mengharungi satu lagi musim rali Dakar, sayap perlumbaan Toyota iaitu Gazoo Racing telah memperkenalkan jentera baharu mereka yang diasaskan dari trak pikap Toyota Hilux, diberi nama Toyota GR DKR Hilux T1+.
Jentera baharu ini adalah versi kemaskini dari trak lumba Toyota Dakar Hilux yang telah didedahkan pada 2018, kemudian memenangi rali paling lasak berkenaan pada tahun 2019. Ia berkongsi banyak komponen dari trak asal berkenaan, tetapi telah dikemaskini bagi memenuhi syarat undang-undang T1+ baharu.
Jika sebelum ini Dakar Hilux dijana oleh enjin V8 turbodiesel, Toyota GR DKR Hilux T1+ ini pula dijana oleh enjin petrol 3.5 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang diambil dari Toyota Land Cruiser 300 baharu, di tala bagi menghasilkan 409 hp pada takat 5,200 rpm, dan tork maksima 650 Nm bermula seawal 2,000 rpm.
Ia juga menerima pelbagai peningkatan lain seperti set roda yang lebih besar dari 32-inci kepada 37-inci. Suspensi jentera baharu ini juga menampilkan strok yang lebih panjang dari 280 mm sebelumnya kepada 350 mm. Penampilan sulung ini hanya mendedahkan keseluruhan badan gentian karbon trak lumba tersebut, manakala grafik livery perlumbaan hanya akan didedahkan sedikit masa lagi.
Walaupun masih dipanggil ‘Rali Dakar’ (Dakar merujuk kepada ibu kota Senegal), bermula tahun lalu ia hanya berlangsung di Arab Saudi, selepas 10 tahun berlangsung hanya di Amerika Selatan atas sebab-sebab keselamatan. Acara selepas ini akan bermula pada 2 hingga 14 Januari 2022, bermula di Ha’il dan berakhir di Jeddah dengan jarak sekitar 8,000 km.
Bagi musim 2022, Toyota Gazoo Racing bakal mempetaruhkan empat buah Toyota GR DKR Hilux T1+, dengan menampilkan juara Rali Dakar 2019, Nasser Al-Attiyah bersama juru arahnya Mathieu Baumel sebagai pasangan utama. Tiga lagi jentera akan dipandu oleh pasangan Giniel de Villiers bersama juru arah Dennis Murphy, Henk Lategan bersama juru arah Brett Cummings, serta Shameer Variawa bersama juru arah Danie Stassen.