Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi low-rider, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi <em>low-rider</em>, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

Secara beransur-ansur, jenama pretasi Toyota yang sebelum ini diwakili oleh Toyota Racing Development (TRD) ditukar kepada Gazoo Racing (GR) untuk peringkat global dan ia telah mula digunakan secara meluas di Asia Tenggara. Selepas Vios GR Sport diperkenalkan di Malaysia, serta barisan model TRD Sportivo ditukar dengan lencana GR Sport di Indonesia, kini trak pikap Hilux GR Sport membuat kemunculan rasminya di Thailand buat julung kali.

Toyota Hilux GR Sport ini dibangunkan oleh pasukan jurutera tempatan Toyota di Thailand. Ia bukan sahaja tampil dalam versi biasa high-rider yang tinggi, malah Hilux GR Sport ini juga dilancarkan dalam versi low-rider, iaitu model yang tampil dengan roda lebih kecil dan jarak kelegaan tanah lebih rapat yang sememangnya gaya yang popular di Thailand.

Bagi model high-rider, Hilux GR Sport berkenaan diasaskan dari model varian tertinggi Rocco (atau dikenali sebagai Rogue di Malaysia), dan diberikan pelbagai tingkat taraf baharu. Kit pengayaan luaran pada Hilux GR Sport ini masih nampak sama seperti Hilux Rocco, namun kemasan pelindung sekeliling badan, bingkai gril dan juga overfender telah diwarnakan dengan warna badan.

Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi <em>low-rider</em>, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

Ini membuatkan ia nampak lebih sporty, dan ia turut menerima pelekat-pelekat grafik badan dengan warna hitam-merah yang diinspirasikan dari livery perlumbaan kereta-kereta rali Toyota Gazoo Racing. Tiada logo Toyota pada gril hadapan Hilux ini tetapi digantikan dengan skrip ‘Toyota’ seperti Land Cruiser GR Sport baharu.

Skid plate hadapan juga kini menerima kemasan-hitam warna badan, manakala lampu kabus pula menerima perumah lebih besar dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan sports bar belakang berwarna hitam, rim aloi 18-inci dan juga logo-logo GR diletakkan pada bahagian hadapan, sisi, dan belakang.

Bagi model low-rider pula, Hilux GR Sport ini diasaskan dari model Z Edition. Jika model high-rider tadi menerima ‘semangat’ kereta rali, model low-rider ini pula dikatakan diinspirasikan dari jentera lumba Super GT Gazoo Racing. Jadi ia menerima kit badan lebih sporty menampilkan spoiler dagu lebih besar, skirt sisi, dan juga panel seakan diffuser pada bampar belakang.

Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi <em>low-rider</em>, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

Hilux GR Sport low rider ini juga diberikan rim aloi 17-inci kemasan hitam dan juga pelekat grafik badan berbeza. Namun kedua-dua model Hilux GR Sport ini diberikan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR dan juga penutup cermin sisi berwarna hitam.

Pada bahagian kabin, kedua-dua versi Hilux GR Sport ini diberikan roda stereng balutan kulit dengan penanda pukul 12 berwarna merah, panel-panel kemasan kelabu gelap, pedal aloi, uphosteri kulit-sued hitam dengan sulaman logo GR, serta paparan meter dengan skrin pemula juga berlogo GR. Namun hanya model high-rider menerima butang penghidup enjin dengan logo GR.

Kedua-dua model ini diberikan enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm. Bekalan kuasa berkenaan adalah sama bagi model high-rider GR Sport dan Rocco, namun untuk model low-rider ini adalah peningkatan yang signifikant kerana ia hanya ditawarkan dengan enjin 2GD-FTV 2.4 liter 150 PS/400 Nm sebelum ini.

Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan secara standard. Model high-rider datang standard dengan sistem pacuan empat roda, manakala Hilux GR Sport low-rider hanya menampilkan sistem pacuan roda belakang.

Namun khas untuk Hilux GR Sport low-rider, ia turut menerima suspensi yang ditala semula membuatkan ia 23 mm lebih rendah dari model biasa. Menurut Toyota, ini membolehkan model lebih sporty tersebut mendapatkan keberkesanan aerodinamik lebih baik serta olegan badan juga dapat dikurangkan.

Toyota Hilux GR Sport ini dijual pada harga bermula 889,000 baht (RM113,800) untuk versi 4X2 low-rider sehingga 1,299,000 baht (RM166,300) untuk model 4×4 high-rider. Toyota Thailand juga mengumumkan berberapa perubahan kecil bagi Hilux Z Edition, termasuk penambahan lampu hadapan dan belakang LED pada varian paling tinggi yang sama seperti GR Sport low-rider.

GALERI: Toyota Hilux GR Sport 2021 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Z Edition 2021 pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required