Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

Selepas Jepun dan Thailand, kini trak pikap Toyota Hilux dalam versi paling sporty iaitu dengan lencana GR Sport tiba pula di pasaran Eropah. Sebelum ini kita telah lihat bahawa Jepun dan Thailand masing-masing menerima Hilux GR Sport dengan spesifikasi berbezakan? Model bagi pasaran Eropah ini juga tidak sama dengan dua versi dari Asia tadi, kerana ia diberikan talaan suspensi, kelengkapan mekanikal dan rupa yang lebih unik.

Gril Hilux GR Sport Eropah ini menampilkan rekaan berbentuk heksagon, dengan diberikan pembahagi tengah kemasan seakan gentian karbon bersama skrip klasik Toyota dan juga logo GR. Ia juga menerima perumah lampu kabus yang lebih besar dan tinggi pada sisi bampar berbanding model JDM yang menampilkan perumah lebih kecil. Model ini juga diberikan lampu hadapan LED, bergantung pada pasaran.

Overfender pada setiap ruang roda masih kelihatan sama seperti Hilux GR Sport pasaran Jepun, tetapi versi Eropah ini tidak diberikan kemasan warna badan dan plastik tersebut dibiar hitam. Kemasan hitam berkilat pula diberikan pada perincian seperti pembuka pintu dan pintu tailgate, penutup cermin sisi dan juga pemijak sisi.

Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

Rupa luaran Hilux GR Sport pasaran Eropah ini dilengkapkan dengan set roda yang terdiri dari rim aloi 17-inci dua tona dengan rekaan berbeza dari model JDM, dibalut dengan tayar jenis all-terain.

Versi GR Sport ini hadir dengan pilihan enjin paling berkuasa untuk Hilux Eropah, iaitu enjin 2.8 liter empat silinder turbodiesel, berkuasa 204 hp dan tork maksima 500 Nm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, dan model GR Sport ini turut dibekalkan dengan unit LSD pada gandar belakang. Padanan ini membolehkan trak pikap berkenaan menawarkan kapasiti membawa beban satu tan bersama kadar menunda treler seberat 3.5 tan.

Selain itu, Hilux GR Sport ini turut menerima talaan istimewa pada suspensi. Ia diberikan penyerap hentak monotube dengan omboh yang lebih besar untuk kesemua bahagian, bersama spring gegelung hadapan yang lebih baik. Menurut Toyota, penyerap hentak baharu tersebut memberikan prestasi menyerap hentakan dan memberikan respon bersama penyisihan haba lebih baik, serta berupaya untuk mengekalkan kualiti minyak di dalamnya walaupun ia dipandu dalam laluan yang lasak.

Toyota Hilux GR Sport 2022 untuk Eropah didedah – LSD, suspensi ditala semula, berkuasa 204 hp/500 Nm

Talaan spring gegelung hadapan dan juga penyerap hentak berkenaan turut diserasikan dengan talaan spring dedaun di belakang dan juga set bushing baharu. Hasilnya, ia memberikan respon stereng, prestasi jalan lurus, serta memberikan olengan dan rasa cengkaman bahagian belakang yang lebih baik. “Respon terhadap getaran berfrekuensi tinggi dan penyerapan hentakan yang lebih baik juga membantu kawalan badan,” tambah Toyota lagi.

Pada bahagian kabin, model GR Sport ini diberikan tempat duduk hadapan GR yang lebih sporty, yang dibalut dengan gabungan kulit hitam dan sued sintetik berlubang bersama serlahan benang merah. Logo-logo GR turut boleh dilihat pada karpet kaki, butang penghidup enjin, dan juga pada grafik paparan instrumen.

Selain itu trak pikap GR Sport ini juga diberikan kemasan gaya gentian karbon dan juga kemasan-kemasan merah pada panel-penel tertentu. Ia turut menerima kit kelengkapan yang sama seperti varian tertinggi Hilux pasaran Eropah dengan perincian termasuk sistem pendingin hawa dua zon. Toyota Hilux GR Sport pasaran Eropah ini akan mula dijual di benua berkenaan bermula musim panas 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required