Pelumba drag maut – penganjur tegaskan tiada peraturan dilanggar, tidak perlu pengiktirafan MAM

Pelumba drag maut – penganjur tegaskan tiada peraturan dilanggar, tidak perlu pengiktirafan MAM

Susulan kemalangan yang berlaku perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 yang dilangsungkan di litar drag Pekan Speedway di Pekan, Pahang hujung minggu lalu menyebabkan kematian seorang pelumba, pagi ini pihak penganjur acara tersebut baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi.

Menurut penganjur berkenaan iaitu MUSC Drag, pihaknya telah mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menganjurkan acara yang dilabel sebagai Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 tersebut.

Dalam kenyataan itu, MUSC menegaskan penganjuran program sukan tempatan oleh Badan Sukan (Kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997) tidak perlu mendapatkan kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkuatkuasa 10 April 2023, namun hendaklah mematuhi tiga garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Tiga garis panduan berkenaan adalah mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa tempatan, mendapatkan kebenaran dari pemilik tapak lokasi dan juga mendapatkan perlindungan insuran bagi menjamin perlindungan peserta, jelas MUSC dalam kenyataan yang dikeluarkan.

MUSC turut menyatakan penganjuran program latihan sukan bermotor tidak perlu mendapatkan pengiktirafan (sanction) dari Motorsport Association of Malaysia (MAM) sepertimana yang pernah dimaklumkan oleh pihak MAM sendiri menerusi sesi-sesi perbincangan di antara wakil MAM dengan kelab MUSC dan beberapa pemegang taruh (Pihak-pihak Penganjur) yang lain.

Pelumba drag maut – penganjur tegaskan tiada peraturan dilanggar, tidak perlu pengiktirafan MAM

“Program latihan sukan bermotor iaitu Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 anjuran Kelab MUSC yang telah berlangsung di Litar Pekan Speedway, Pahang pada 02 & 03 September 2023 baru-baru ini mematuhi garis panduan sepertimana dinyatakan di atas,” kata MUSC dalam kenyataan itu lagi.

Kelab itu juga menyatakan bahawa kemalangan yang dialami oleh pelumba berkenaan iaitu Mohd Hattem Bin Rashdi berlaku ketika sesi ujian latihan ‘single-run’ di mana beliau telah hilang kawalan ke atas jenteranya disebabkan oleh masalah teknikal enjin jentera tersebut.

“Pihak kami telah pun berjumpa dengan waris serta mengambil tanggung jawab sepenuhnya di atas kejadian ini dari awal sehingga akhir,tanpa menundingjari kepada mana-mana pihak yang ada turut ada kaitan.

“Pihak kami juga akan mengambil segala langkah penambahbaikan yang sewajarnya untuk memperbaiki aspek keselamatan semasa demi memartabatkan lagi program latihan Test N Tune ini,” tambah MUSC lagi.

Selepas terlibat dalam kemalangan dalam perlumbaan tersebut Ahad lalu, Hattem dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat. Pelumba drag professional berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang Isnin lalu dan jenazahnya dibawa ke kampung halamannya di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku dalam kejohanan drag tempatan. Tahun lalu seorang pelumba kereta drag yang berasal dari Perak, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin maut di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak setelah jentera Mitsubishi Lancer Evolution IX yang dipandunya terbabas ketika berlumba dalam siri perlumbaan Battle of The Kings (BOTK) 2022, yang juga tidak mendapat kelulusan dari MAM.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required