Selepas bertarung nyawa lebih 12 jam akibat kemalangan yang berlaku di litar drag Pekan Speedway di Pekan, Pahang, seorang pelumba drag motosikal dari pasukan ESR Motor Hattem Rashdi berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika Hattem mengambil ujian masa dalam siri perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 di litar tersebut. Menurut pemilik pasukan ESR Motor Adib Affandi Mohamad dalam laporan Harian Metro, beliau difahamkan jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas.
Harian Metro turut melaporkan bahawa Hattem dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat. Adib menjelaskan bahawa Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang semalam dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.
Buat masa sekarang masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari penganjur berkenaan insiden ini. Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku dalam kejohanan drag tempatan. Tahun lalu seorang pelumba kereta drag yang berasal dari Perak, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin maut di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak setelah jentera Mitsubishi Lancer Evolution IX yang dipandunya terbabas ketika berlumba dalam siri perlumbaan Battle of The Kings (BOTK) 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.