BYD Dolphin menjejaki langkah kecemerlangan abangnya, Atto 3, kini telah diproduksi sebanyak 500,000 init. Model kenderaan elektrik (EV) buatan China itu diumumkan telah diproduksi dengan jumlah tersebut sejak ia diperkenalkan pada Ogos 2021.
Tambah syarikat pengeluarnya, BYD, sejak dipasarkan di negara kelahirannya itu, Dolphin turut menjadi hatchback paling laris bagi segmen A0 (klasifikasi saiz yang digunakan di China) untuk 19 bulan berturut-turut. Selain China, EV berkenaan turut dijual di pasaran global termasuk Eropah, Brazil, New Zealand, Australia, Thailand, Singapura dan Malaysia.
Dolphin merupakan model BYD yang pertama dibangunkan dengan e-Platform 3.0 , ia dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu. Ditawarkan dengan dua varian, bermula dengan Dynamic Standard Range
yang ditawarkan pada harga atas jalan RM100,530 tanpa insurans, diikuti dengan Premium Extended Range berharga RM125,530.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) dan motor elektrik yang memacu roda hadapan. Bersama Dynamic Standard Range, kapasiti tenaga bateri ialah 44.92 kWh, yang mampu memberikannya jarak hingga 410 km mengikut standard NEDC (340 km untuk WLTP). Varian ini juga menawarkan keseluruhan kuasa mencecah 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm.
Manakala bagi Premium Extended Range, ia menawarkaan jarak hingga 490 km mengikut NEDC (429 km bagi WLTP), hasil kapasiti tenaga bateri yang lebih besar mencecah 60.48 kWh. Model spesifikasi tertinggi ini juga menawarkan kuasa yang lebih tinggi, dengan motor elektrik memberikan sejumlah 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 310 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam tujuh saat (berbanding 12.3 saat bagi Dynamic Standard Range).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.