Hujung minggu ini akan berlangsung pusingan terakhir perlumbaan one-make Vios Challenge musim ke-6 yang berlangsung serentak dengan Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UMW Toyota hari ini, acara berkenaan juga akan menjadi platform bagi mendedahkan jentera lumba Vios Challenge yang bakal menggantikan jentera lumba sedia ada yang masih diasaskan model generasi sebelum ini.
Jentera baharu ini diasaskan dari Vios generasi ke-empat yang baharu sahaja dilancarkan pada pasaran Malaysia Mac lalu. Seperti dua versi kereta lumba Vios Challenge sebelum ini, ia diasaskan dari versi produksi dengan kerangka yang keluar dari kilang Toyota di Malaysia, masih menggunakan enjin produksi tanpa ‘isi perut’ yang diusik, serta diberikan pelbagai tingkat taraf perlumbaan.
Vios generasi baharu ini menggunakan kerangka baharu sepenuhnya, iaitu platform Daihasu New Global Architecture (DNGA). Ia tidak lagi dijana oleh enjin 2NR-FE, sebaliknya digantikan dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-VE yang menghasilkan 106 PS dan tork maksima 138 Nm. Untuk versi kereta lumba, ia mungkin menerima kotak komputer jenis stand alone bagi membolehkan talaan semula dibuat untuk ‘membebaskan’ sedikit lagi kuasa tambahan.
Namun tidak seperti model produksi yang kini hanya ditawarkan dengan kotak gear CVT, UMW Toyota mengesahkan bahawa kereta lumba ini menerima kotak gear manual lima-kelajuan.
“Vios baharu ini terus dijana oleh enjin 1.5 liter yang digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan tetapi menerima platform serba baharu yang lebih tegar dan stabil serta aerodinamik yang dipertingkat. Penambahbaikkan pada casis ini membuatkan ia lebih melekat di selekoh, lebih responsif terhadap input pemandu dan mampu mencatatkan masa lap lebih pantas” kata UMW Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Kereta lumba baharu ini bukan hanya akan dipamerkan di Sepang hujung minggu ini. Sebaliknya ia akan terus digunakan untuk berlumba di mana sembilan orang selebriti dalam kelas Promotional akan berlumba dahulu dengan kereta baharu ini, sebelum ia digunakan dalam semua kategori pada musim hadapan yang akan berlangsung pada 2024.
Festival ini akan bermula dari 30 September hingga 1 Oktober 2023, dan orang ramai dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Anda bukan hanya berpeluang untuk menyaksikan perlumbaan Race 1 dan Race 2 untuk keempat-empat kategori pada hari Sabtu dan Ahad berkenaan, malah turut akan disajikan dengan konsert dan pelbagai aktiviti keluarga, serta berpeluang beramah mesra dengan pelumba-pelumba selebriti yang berlumba dalam kategori Promotional.
Walaupun masuk ke SIC adalah percuma hujung minggu ini, anda yang berminat untuk datang ke pusingan terakhir TGR Festival musim ke-6 ini masih perlu mendaftar secara atas talian di www.toyota.com.my/tgrmalaysia untuk mendapatkan tiket masuk.
Jika anda tidak berpeluang untuk hadir, perlumbaan ini masih boleh ditonton secara atas talian juga menerusi laman web rasmi TGR Malaysia serta semua platform media sosialnya termasuk Facebook, Instagram dan Youtube.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.