RapidKL mensasarkan untuk mempunyai 30% bas EV dalam armada basnya menjelang tahun 2030. Perkara ini dikongsikan dalam ruang pameran syarikat itu ketika acara persidangan International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 yang berlangsung di ibu negara bermula hari ini.
Menjelang tahun 2037 pula, semua bas yang digunakan oleh syarikat berkenaan akan terdiri daripada bas elektrik sahaja. Sasaran berkenaan ditentukan berdasarkan purata penggunaan EV di negara lain yang meletakkan sasaran 25-50% penggunaan EV menjelang tahun 2030, dan sifar emisi pada tahun 2035-2040.
Ini juga selari dengan agenda nasional untuk mencapai sifar pembebasan emisi kenderaan melalui pertambahan kenderaan dalam armada perkhidmatan. Satu lagi pertimbangan yang diambil kira untuk pelaksanaan ini adalah baki kos pemilikan EV berbanding sasaran emisi, yang dijangka akan menyamai kadar dengan kos pemilikan bas diesel menjelang 2035.
Dalam jangka masa pendek, seperkara lagi yang menjadi pertimbangan syarikat ini untuk diambil kira dalam pelaksanaan penggunaan bas EV adalah terhadnya kemudahan pengecasan di depot bas. Dengan itu, menjelang 2026, had bas EV dihadkan kepada hanya 100 unit, sementara naik taraf kemudahan pengecasan di depot memerlukan antara 2-3 tahun untuk dipertingkatkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.