Amerika Syarikat nampaknya menjadi antara pasaran terawal yang menerima dua motosikal elektrik terbaru daripada Kawasaki iaitu Ninja e-1 dan Z e-1. Ia dijual pada harga masing-masing 7,599 USD (RM35,878) dan 7,299 USD (RM34,462). Sebagai perbandingan, dua model ini dijual lebih mahal berbanding Ninja 400 (5,299 USD/RM25,019) dan Z 400 (5,399 USD/RM25,491) di sana.
Walaupun menggunakan penggerak yang berbeza, Ninja e-1 dan Z e-1 ini masih mengekalkan reka bentuk sama seperti Ninja 250 dan Z 250 versi petrol, dengan perbezaan yang kami nampak cuma pada bahagian tangki serta kerangka yang memegang motor elektrik. Kemudiannya, sudah tentu sebagai model elektrik, Ninja e-1 dan Z e-1 tidak mempunyai ekzos.
Selain reka bentuk, kelengkapan lain dua motosikal ini adalah sama, bermula dengan penggerak yang terdiri daripada motor permanent magnet synchronous yang mendapat kuasa daripada dua pek bateri lithium ion 50.4 V/30 Ah dan menghasilkan kuasa maksimum 12 PS pada 2,600 rpm dan tork 40 Nm pada 500 rpm.
Dua bateri tersebut terletak di bahagian atas motosikal, iaitu bahagian yang biasanya menempatkan tangki bahan api, dan ia boleh dibawa keluar secara berasingan untuk dicas atau ditukar. Kapasiti mengecas tidak diberitahu, tetapi ia dikatakan boleh mengambil masa sehingga empat jam untuk penuh menggunakan kuasa dari rumah.
Walaupun menggunakan motor elektrik, Kawasaki masih menggunakan sistem rantai untuk menyampaikan kuasa kepada roda belakang, dan bahagian lain nampak seperti motosikal biasa termasuk tetapan brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS serta suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Walaupun begitu, dua motosikal elektrik ini tidak mempunyai tuil klac dan gear.
Melalui penggerak elektrik ini, Kawasaki menyediakan dua mod tunggangan pada Ninja e-1 dan Z e-1 iaitu Road dan Eco. Dalam mod Road, motosikal boleh mencapai kuasa serta laju maksimum sementara dalam mod Eco ia dikurangkan sedikit. Jika bateri cuma ada satu pada motosikal, mod ini juga automatik akan terletak di Eco.
Turut disediakan adalah mod E-Boost, yang dapat memberikan kuasa tambahan selama 15 saat, dan Walk Mode, yang dapat membantu menggerakkan motosikal secara perlahan ke hadapan dan ke belakang untuk membantu penunggang meletakkan motosikal atau bergerak di kawasan sempit.
Berat keseluruhan Ninja e-1 dan Z e-1 adalah masing-masing 140 kg dan 135 kg, sekaligus menunjukkan ia adalah lebih ringan berbanding Ninja 250 dan Z 250 yang mencatat 165 kg. Turut disediakan pada Ninja e-1 dan Z e-1 adalah meter TFT 4.3 inci yang boleh disambung kepada telefon bimbit.
GALERI: Kawasaki Ninja e-1
GALERI: Kawasaki Z e-1
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.