Ingat lagi kegilaan mengumpul kereta kawalan jauh untuk siri Shell Motorsport Remote Control Collection tahun lalu? Tahun ini Shell Malaysia muncul dengan satu lagi siri koleksi kereta kawalan jauh, kali ini koleksi kereta yang dihasilkan adalah diinspirasikan dari watak-watak filem Star Wars yang dinamakan sebagai Star Wars Racer Collection.
Menurut Shell, koleksi kali ini adalah hasil kerjasama dengan The Walt Disney Company Southeast Asia, dan Malaysia merupakan pasaran pertama di dunia menerima koleksi ini, malah ia mungkin tidak akan dilancarkan di pasaran lain. Sebanyak enam rekaan kereta berbeza dilancarkan untuk koleksi kali ini iaitu Darth Vader Racer, Stormtrooper Racer, Darth Maul Racer, The Mandalorian Racer, Bobo Fett Racer dan BB-8 Racer.
Sama seperti koleksi tahun lalu, koleksi baharu ini masih dibangunkan bersama BrandBase dan menggunakan bateri pintar membolehkan ia dikawal menggunakan aplikasi telefon pintar menerusi hubungan Bluetooth. Ia menampilkan rupa yang agak premium kerana dilengkapi dengan badan yang dihasilkan dari material diecast.
Kereta-kereta ini hanya boleh digerakkan sekiranya ia dipasang dengan bateri Bluetooth khas yang dijual secara berasingan. Anda tidak perlu membeli bateri tersebut setiap kali membeli kereta kerana ia boleh digunakan pada setiap kereta berbeza. Malah sekiranya anda masih simpan bateri Bluetooth dari koleksi Shell Motorsport sebelum ini, ia masih boleh digunakan pada koleksi Star Wars Racer kali ini.
Menerusi aplikasi telefon pintar Shell Racing App yang sedia dimuat turun menerusi Google Play dan Apple App Store, kereta-kereta ini bukan hanya boleh dikawal kehadapan-kebelakang dan kiri-kanan sahaja, malah ia turut diberikan butang untuk menghidupkan/mematikan lampu, hon, serta memberikan bunyi enjin seakan kereta sebenar.
Aplikasi tersebut juga menyediakan pelbagai permainan perlumbaan bertemakan “pengembaraan antara galaksi yang mendebarkan”, kata Shell Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.
“Sambutan terhadap koleksi edisi terhad tahunan kami sememangnya hangat. Pengguna Shell V-Power adalah antara yang paling bersemangat, dan kami tahu cerita Star Wars popular di kalangan peminat pelbagai peringkat umur. Koleksi ini menyerlah dan meraikan semangat komuniti ini dan kami berharap peminat-peminat akan teruja apabila berlumba sesama mereka dengan koleksi baru ini,” kata Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia, Seow Lee Ming.
“Sama seperti Shell V-Power yang menyemarakkan semangat perlumbaan dalam diri pelanggan kami, koleksi tahun ini menzahirkan semangat inovasi Shell untuk sentiasa memberikan pengalaman yang ‘Better by Far’ untuk kesemua pelanggan,” tambah Lee Ming lagi.
Koleksi Star Wars Racer ini akan mula dijual secara berperingkat bermula 6 Oktober sehingga 19 November 2023. Satu model baharu dijual di stesen-stesen Shell seluruh negara setiap minggu sepanjang tempoh tersebut.
Kesemua rekaan yang dilancarkan kecuali Darth Vader Racer dijual pada harga RM49.90 dan anda hanya layak membelinya selepas mengisi petrol Shell FuelSave 95, Shell V-Power 97 atau Shell V-Power Racing sekurang-kurangnya RM50 dalam satu resit.
Manakala untuk bateri Bluetooth, ia dijual pada harga RM30 dan anda masih perlu membeli petrol sekurang-kurangnya RM49.90 dalam satu resit untuk layak membelinya. Bagi Darth Vader Racer pula, ia hanya diberikan secara percuma sekiranya anda membeli minyak pelincir Shell Helix Ultra atau Power dalam pek 4 liter di stesen-stesen minyak Shell.
Koleksi ini hanya akan lengkap dengan peti koleksi eksklusif yang dijual pada harga RM89.90, dan anda perlu mengisi petrol Shell V-Power Racing sekurang-kurangnya RM80 dalam satu resit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.