Susulan isu penguatkuasaan meletakkan kenderaan di luar pagar rumah seperti mana pada memo dan notis pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada 2 Oktober lalu, PBT berkenaan berkata pihaknya akan mengeluarkan keputusan berhubung perkara tersebut pada 11 Oktober ini.
Menurut Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abd Rahman, pelaksanaan penguatkuasaan kesalahan meletakkan kenderaan di hadapan rumah dan menghalang laluan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan akan diputuskan dalam satu mesyuarat dan jika mendapat persetujuan Ahli Majlis, penguatkuasaannya akan dilaksanakan secara berfasa.
“Untuk permulaan ini kita akan buat sesi kesedaran mengenai penguatkuasaan undang-undang kecil ini kepada masyarakat. Kita menjangkakan sehingga akhir tahun proses kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat ini akan diberikan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan tersebut bertujuan menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini. Di mana pihaknya menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai.
“Sebenarnya semangat kejiranan semakin terhakis dan kita ada terima laporan pergaduhan dengan jiran. Kita tidak terus kompaun jika terdapat kesalahan, selalunya notis akan diberikan terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan.
“Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan. Selepas itu jika tiada tindakan pemulihan, kita akan kompaun. Kita tidak akan kompaun terus, kita akan beri notis dulu. Kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya.
Walau bagaimana pun, tambah beliau, pihaknya sedia maklum mengenai taman perumahan lama yang mana ruang jalan dan kediaman sempit dan dekat. Oleh itu, MBPG tidak akan mengeluarkan kompaun sekiranya kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah tidak menghalang laluan.
Sebelum ini, MBPG menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi untuk tindakan penguatkuasaan yang difokuskan dan diutamakan adalah berdasarkan aduan yang diterima. Ini kerana setiap aduan yang diterima perlu diberikan maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya.
“Untuk makluman semua, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG sebanyak 242 aduan pada tahun 2022. Manakala setakat September 2023 pula, sebanyak 349 aduan diterima,” kata kenyataan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.