Rapid KL telah mengumumkan percubaan laluan bas 451 bagi Kajang-Bangi-Putrajaya dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023. Percubaan laluan bas 451 itu telah pun bermula sejak 3 Julai lalu dan sepatutnya berakhir pada 30 September. Laluan dengan hentian terhad itu adalah dari Kajang dan Bangi menuju ke Putrajaya, dengan kadar tambang hanya RM1 bagi perjalanan sehala.
Laluan ini seperti perkhidmatan bas Skip Stop Xpress yang menghubungkan LRT Ampang ke Ampang Park dan KLCC, di mana laluan tersebut kini dikekalkan. Bas 451 bergerak dari MRT Kajang ke Putrajaya Sentral pada waktu pagi dengan empat waktu ketibaan – 6.30, 7.00, 7.30, 8.00 – dan kembali ke Kajang dari Putrajaya pada waktu petang, juga dengan empat ketibaan – 4.30, 5.00, 5.30, 6.00.
Laluan dari MRT Kajang akan berhenti di Hentian Kajang, Kompleks PKNS Bangi, Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Kerajaan Parcel D, Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman (Utara) dan Kementerian Belia & Sukan sebelum sampai di Putrajaya Sentral.
Selepas bergerak dari Putrajaya Sentral, pada waktu petang, bas berkenaan akan berhenti di Kementerian Pertanian, Perbadanan Putrajaya (Utara), Perbendaharaan 2 (Utara), Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Kerajaan Parcel D, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi dan Hentian Kajang sebelum berakhir di MRT Kajang.
Laluan dengan hentian terhad ini akan membawa penumpang dari Kajang dan Bangi terus ke Putrajaya, dan disasarkan untuk pekerja sektor kerajaan yang tidak menetap di kota pentadbiran itu. Tambang bagi setiap perjalanan hanya RM1, bermakna kos pengangkutan sekitar RM2 sehari, tetapi sebelum mengambil kira kos ke perhentian bas. Ia sangat menjimatkan jika laluan itu sesuai dengan perjalanan anda. Lanjutan percubaan laluan ini mungkin dibuat berdasarkan penerimaan yang baik di kalangan pengguna perkhidmatan bas tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.