BMW X2 dan iX2 2024 diperkenal – model U10 generasi kedua dapat naik taraf, tambahan versi EV 313 hp

BMW X2 dan iX2 2024 diperkenal – model U10 generasi kedua dapat naik taraf, tambahan versi EV 313 hp

BMW telah memperkenalkan X2 2024, yang akan menggantikan X2 F39 yang diperkenalkan sejak tahun 2017. Ia membawa rekaan yang serba lain, dan kini mengikuti lebih kepada gaya X4 dan X6, dan menjadi seakan versi coupe bagi X1 U11.

Walaupun begitu, ia bukanlah betul-betul sama seperti X1, dan mendapat rekaan tersendiri di bahagian hadapan, termasuk lampu hadapan LED (Adaptive LED dan lampu tinggi matriks disediakan sebagai pilihan tambahan) serta gril yang boleh dipilih dengan lampu BMW Iconic Glow – seperti model yang lebih mewah seperti i7 limo dan 5 Series G60.

Jika dibandingkan dengan X2 asal, model baru ini menerima banyak perubahan pada permukaan badannya. Paling berbeza adalah garis bumbung, yang ditarik terus hingga ke belakang, lampu belakang yang mempunyai lekuk di bahagian bawahnya serta spoiler pendek di atas penutup but.

Badan X2 baru kini semakin besar, dengan catatan panjang 4,554 mm (+194 mm), lebar 1,845 mm (+21 mm) dan tinggi 1,590 mm (+64 mm). Jarak roda yang makin panjang dan lebar juga memberikan manfaat kepada ruang kabin dan ruang barangan bertambah menjadi 560 liter, dari 470 liter sebelum ini. Varian ix2 pula mempunyai ruang barangan antara 525 hingga 1,400 liter.

Varian petrol paling tinggi sekali lagi adalah X2 M35i xDrive, yang mendapat barangan khas M termasuk ekzos empat muncung yang kedudukannya disepadukan pada skirting belakang. Untuk varian lain, pakej M Sport yang disediakan menjadi lebih agresif dengan bampar yang lebih garang. Pergi pula kepada M Sport Package Pro, anda akan mendapat antaranya kemasan M High-gloss Shadowline di luar, spoiler belakang M serta sistem brek M Sport.

X2 boleh didapati dalam dua warna solid dan 11 warna metalik termasuk tambahan baru Fire Red Metallic. Turut disediakan adalah warna matte daripada katalog BMW Individual. Rim standard untuk iX2 adalah bersaiz 17 inci, sementara model enjin biasa mendapat rim 18 inci. M35i xDrive pula mendapat rim M 20 inci dan pilihan untuk menukarnya kepada saiz 21 inci.

BMW X2 dan iX2 2024 diperkenal – model U10 generasi kedua dapat naik taraf, tambahan versi EV 313 hp

Bahagian dalam X2 ini sama seperti X1 terbaru, yang nampak lebih minimalis dan dilengkapi dengan BMW Curved Display serta peletak tangan ‘terapung’ yang turut menempatkan pemilih gear, mod pemanduan, e-brake serta kawalan audio. Tempat duduk X2 boleh dibalut dengan kulit tiruan Veganza atau kulit Vernasca, dan pilihan lain yang disediakan adalah termasuk tempat duduk jenis sport, serta fungsi memori, penyokong lumbar dan mengurut.

Pilihan varian petrol dimulakan dengan X2 sDrive20i, yang mempunyai enjin 1.5L turbo 156 hp. Enijn tiga silinder ini dibantu sistem hibrid ringkas 48V 19 hp untuk menjadikan kuasa keseluruhan 170 hp. Penggunaan bahan api bercampur adalah 6.5 hingga 6.0 liter bagi setiap 100 km. X2 sDrive18d yang menggunakan enjin diesel empat silinder 150 hp pula mencatat 5.5 hingga 5.1 l/100 km. Semua enjin ICE X2 dipadankan dengan transmisi Steptronic tujuh kelajuan.

Sementara itu, X2 M35i xDrive pula mendapat enjin empat silinder turbo 2.0 liter yang berkuasa 300 hp di Eropah dan 317 hp di AS dan pasaran lain. Model AWD M Performance ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dan mendapat talaan casis khas M serta suspensi adaptif M. Brek M Compound disediakan sebagai pilihan tambahan.

Barisan X2 lain mendapat ‘naik taraf bersasar’ pada bahagian gandar hadapan dan belakangnya. Pengehad gelinciran roda hampir dengan actuator diberikan standard pada X2 dan dikatakan oleh BMW sebagai memberikan lebih cengkaman dan stabiliti. Ciri lain adalah termasuk sistem brek bersepadu serta talaan semula serapan di bahagian hadapan.

Tambahan baru bagi X2 generasi ini adalah varian elektrik penuh iX2. Sama seperti versi M Performance yang disebutkan awal tadi, EV ini juga akan ditawarkan bermula dari waktu pelancaran sebagai iX2 xDrive30. Ia mempunyai dua motor elektrik (terletak di setiap gandar) dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 313 hp (230 kW) dan 494 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Bateri 64.8 kWh yang digunakan mampu memberi jarak antara 417 hingga 449 km.

Berkenaan teknologi, X2 mendapat sistem BMW iDrive dengan QuickSelect secara standard. Menggunakan BMW Operating System 9, ia dipakejkan sekali dengan BMW Curved Display dan BMW Intelligent Personal Assistant. Fungsi sedia ada juga boleh dikemas kini secara atas talian.

Fungsi Augmented View ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk sistem navigasi BMW Maps. Selain daripada itu, turut disediakan adalah Personal eSIM untuk teknologi 5G, BMW Digital Key Plus, BMW ID serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

GALERI: BMW X2 2024

GALERI: BMW iX2 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required