Toyota telah mendedahkan salah satu kenderaan yang mereka akan bawa ke Japan Mobility Show hujung bulan ini di Tokyo, Jepun. Ia dalah sebuah trak pikap elektrik konsep, yang dinamakan sebagai EPU. Ia akan menyertai kenderaan lain di tapak pameran seperti Land Cruiser SE, skuter elektrik Land Hopper serta kerusi roda elektrik Juu.
EPU diberitahu adalah sebuah trak pikap yang menggunakan badan monocoque, dengan ukuran 5,070 mm panjang, lebar 1,910 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda 3,350 mm. Jika dibandingkan dengan Hilux, ia lebih pendek 255 mm, kurang lebar 190 mm dan lebih rendah 105 mm. Di dalam, ia boleh menempatkan lima orang.
Menurut Toyota, binaan monocoque pada EPU ini membenarkan penghasilan ruang barangan pelbagai guna, dan salah satu gambar yang disiarkan menunjukkan pintu bahagian ruang barangan belakang trak konsep tersebut boleh dilungsur, sekaligus dapat menempatkan barang yang lebih panjang.
Menurut Toyota, kabin belakang EPUC “disambungkan dengan gagah kepada pelantarnya” untuk menyokong kepelbagaian guna dan gaya hidup termasuk aktiviti luar. Seperti kebanyakan kereta elektrik lain, Toyota memberitahu trak pikap ini tidak akan mengeluarkan bunyi mempunyai titik graviti yang rendah, memberikan “stabiliti pengendalian hebat dan selesa.”
Di bahagian dalamnya, roda stereng biasa yang berbentuk bulat diganti dengan jenis yoke yang terpotong separuh dan di belakangnya terdapat dua skrin yang berlapis. Turut diletakkan pada bahagian kiri skrin yang di tengah adalah butang pemula enjin, brek parkir serta pilihan gear.
Toyota masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal, jarak gerak atau prestasi untuk EPU ini, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh memberi gambaran kepada kita kemungkinan kepada produk elektrik pengeluar daripada Jepun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.