Zeekr telah mengumumkan bahawa juara Formula 1 2007, Kimi Räikkönen kini telah menyertai divisi kenderaan elektrik premium (EV) Geely berkenaan.
Pengumuman ringkas itu dibuat menerusi laman media sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) jenama EV China tersebut dan menyebut Räikkönen akan memegang jawatan sebagai ketua penasihat prestasi, bukan sebagai duta yang menghiasi iklan semata-mata.
Kimi Räikkönen akan memulakan tugas pertamanya dengan menyertai pelancaran model Zeekr 001 FR di Beijing, China pada 27 Oktober ini. Zeekr 001 FR merupakan model tingkat taraf dari 001 standard dengan prestasi litar yang jauh lebih serius dan menjadi pesaing terus kepada Tesla Model S Plaid.
FR merupakan akronim kepada Future Roads, dan digerakkan dengan empat motor elektrik. Konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal.
Keempat-empat motor elektrik tersebut memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS – sebagai perbandingan, versi paling berkuasa Zeekr 001 sebelum ini dengan hanya dua motor elektrik dibekalkan dengan kuasa 544 PS dan tork maksima 768 Nm.
Ini membolehkan Zeekr 001 FR tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.