Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j 2.37 saat!

Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j  2.37 saat!

Jenama EV premium dari Geely iaitu Zeekr telah memperkenalkan Zeekr 001 FR, iaitu versi lebih liar untuk Shooting Brake EV Zeekr 001. FR adalah akronim untuk Future Roads, dan 001 FR ini merupakan EV dengan kuasa lebih dari 1,000 hp serta merupakan pesaing terus kepada model produksi paling berkuasa Tesla iaitu Model S Plaid.

Secara spesifiknya, Zeekr 001 FR ini dipadankan dengan empat motor elektrik, memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS! Sebagai perbandingan, versi paling berkuasa Zeekr 001 sebelum ini dengan hanya dua motor elektrik dibekalkan dengan kuasa 544 PS dan tork maksima 768 Nm.

Dengan bekalan kuasa tersebut, Zeekr 001 FR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j.

Menurut laporan CarNewsChina, konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal!

Setiap motor pada gandar hadapan menghasilkan kuasa 155 kW (211 PS), atau 422 PS secara keseluruhan. Manakala setiap motor pada gandar belakang pula menghasilkan kuasa (310 kW) 421 PS atau 842 PS secara keselurah. Jadi walaupun Zeekr 001 FR ini adalah jentera AWD, ia sebenarnya lebih bersifat seperti kereta pacuan roda belakang dengan agihan tork diuruskan oleh perisian Zeekr Vectoring Control.

Zeekr turut menyatakan bahawa ketika kereta ini membuat pusingan kereta kebal, tork puncak yang boleh dicapai pada roda mencecah 10,000 Nm, dan motor pada gandar belakang menggunakan gentian karbon bagi membalut rotor serta jumlah ketumpatan kuasa yang dicatatkan adalah 4.4W/kg

Motor-motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri CATL Qilin berkapasiti 100 kWj. Dengan asas sistem elektrik 800V, bateri berkenaan boleh dipenuhkan daro 10% hingga 80% dalam masa 15 minit. Walau bagaimanapun jarak gerak untuk satu cas bateri penuh belum diperincikan oleh Zeekr.

Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j  2.37 saat!

Dengan unit rangkaian kuasa yang lebih buas, Zeekr 001 FR ini menerima sistem brek dari AP Racing menampilkan angkup 10-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang, digandingkan dengan cakera karbon seramik dari Brembo. Ia turut diberikan set roda dengan rim aloi forged 22-inci yang dibalut tayar litar Giti GTR2 bersaiz 265/40R22 di hadapan dan 295/40R22 di belakang. Manakala untuk suspensi, 001 FR ini dilengkapi dengan suspensi prestasi tinggi keluaran KW.

Selain itu Zeekr 001 FR ini juga menerima kit aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon yang didakwa dapat menampung daya sisi sehingga 1.4G. Kit tersebut termasuk spoiler pada bawah bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang. Bumbung logam kereta ini juga telah ditukar menggunakan gentian karbon bagi mengurangkan beratnya.

Pada sebelah dalam, Zeekr 001 FR ini menerima tempat duduk hadapan sport, upholsteri Alcantara dan juga kemasan-kemasan berwarna merah. Pemandu diberikan paparan instrumen dengan skrin 8.8-inci, manakala untuk infotainmen dan kawalan-kawalan lain ia diberikan skrin utama 15.5-inci.

Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j  2.37 saat!

Model ini juga menerima telefon dan sistem navigasi satelit yang menggunakan satelit Geely iaitu GeeSAT 1 yang telah dilancarkan ke orbit bermula Jun tahun lalu. Manakala untuk sistem infotainmen, Zeek 01 menggunakan sistem Zeekr OS 5.0. Ia juga menerima sistem pemanduan separa autonomi ala-sistem Tesla Autopilot yang digelar NZP (Navigation Zeekr Pilot).

Pelanggan pertama di China yang menempah Zeekr 001 FR ini akan menerima kereta mereka bermula Oktober nanti. Menurut Zeekr model ini hanya akan diproduksi sebanyak 99 unit sebulan, dan setiap pembeli akan diberikan latihan pemanduan khas untuk memandu kereta ini.

Menurut laporan Motor1, Ogos lalu Zeekr mengumumkan bahawa 001 FR ini akan dijual pada harga di bawah 1 juta yuan (RM639k), lebih murah dari Tesla Model S Plaid yang dijual pada harga sekitar RM686k di pasaran tersebut.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required