Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

Pengedar Suzuki di Malaysia, Naza Eastern Motors (Naza) kini memperkenalkan model edisi terhad hot-hatch Suzuki Swift Sport Silver Edition, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM145,900. Walaupun harganya masih sama seperti versi biasa, model yang diproduksi di Jepun (CBU) tetapi hanya ditawarkan khas di Malaysia ini menerima beberapa kemasan penggayaan yang lebih agresif dan sistem infotainmen lebih baik.

Seperti namanya, model ini hanya datang dengan warna badan Premium Metallic Silver, dan kemudiannya diberikan pelekat hitam dengan corak gentian karbon pada bahagian bawah sisi badan dan jalur berkembar pada penutup bonet hadapan. Ia turut menerima serlahan jalur merah disekelilig gril hadapan dan kemasan diffuser di belakang.

Dan paling menarik, penutup cermin sisi, kemasan pada pintu belakang dan tiang C serta spoiler bumbung semuanya diperbuat dari gentian karbon sebenar. Tip ekzos berkembar asal juga sudah ditukar dengan tip kemasan gentian karbon dari Akrapovic.

Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

Kemasan-kemasan ala-gentian karbon turut dapat dilihat pada bahagian kabin iaitu pada papan pemuka (pada bahagian tengah, panel suis penghawa dingin dan panel instrumen) dan juga perumah suis cermin tingkap pada keempat-empat pintu. Swift Sport Silver Edition ini juga menerima set karpet kaki dengan serlahan merah dan skrin infotainmen 10-inci dari Soundstream menggantikan skrin 7-inci pada model biasa.

Perincian lain masih lagi sama dimana ia dijana oleh enjin K14C 1.4 liter turbo Boosterjet berkuasa 140 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm bermula 2,500 hingga 3,500 rpm, ditawarkan hanya dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Dengan menggunakan platform Heartect sebagai asas, Swift Sport ini dihasilkan 80 kg lebih ringan dari model generasi sebelumnya dengan berat hanya 970 kg. Ini membolehkan ia mencapai nisbah tork kepada berat sekitar 4.2 kg/Nm, sekaligus pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 205 km/j.

Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

Untuk kelengkapan luaran, model pasaran Malaysia ini menerima perincian seperti lampu hadapan automatik dengan projektor LED, lampu kabus hadapan halogen, kemasan seakan karbon pada spoiler bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser bampar belakang, sistem kunci pintar, kamera undur, pembuka but belakang elektromagnetik dan juga rim aloi 16-inci dengan tayar Yokohama Advan A13 195/50R16.

Pada bahagian dalaman pula pembeli Swift Sport di Malaysia menerima tempat duduk separa bucket dan roda stereng rata di bawah dengan upholsteri kulit dan serlahan benang merah, kemasan-kemasan serlahan merah-hitam pada panel pintu dan papan pemuka, serta set pedal aluminium.

Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk cruise control, tuil brek tangan manual, panel instrumen analog dengan takometer latar belakang merah, skrin MID ditengah yang turut memberikan bacaan boost turbo dan daya G-Force, butang penghidup enjin, enam pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

Bagi sistem keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dibekalkan dengan enam beg-udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, penderia parkir belakang, Hill Hold Assist, sistem brek ABS, EBD dan EBA, serta Program Kestabilan Elektronik (ESP). Setiap pembelian model ini menerima perlindungan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required