Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Akhirnya selepas pelbagai maklumat berkaitan model sedan terbaru Proton mula keluar dan didedahkan oleh pengeluarnya, model Proton S70 2024 hari ini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Dan itu bermakna, yang ditunggu-tunggu hanyalah pengesahan bagi harga jualan empat variannya.

Proton S70 ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut — Executive (RM73,800), Premium (RM79,800), Flagship (RM89,800) dan Flagship X (RM94,800) — harga atas jalan tidak termasuk insurans. Beza bagi varian ‘X’ adalah ia melibatkan tambahan ciri sunroof dan juga pilihan warna eksklusif Quartz Black, itu sahaja. Tiada lagi varian Standard seperti model lain Proton ditawarkan.

Telah banyak yang kita tahu tentang Proton S70. Antara yang utama adalah ia menggunakan asas daripada model Geely Emgrand (dengan banyak perubahan dilakukan untuk S70) dan bakal menggantikan model Proton Preve dalam pasaran tempatan. Sama juga seperti Preve sebelum ini, Proton memposisikan S70 sebagai sedan untuk berada dalam segmen C — dan bersaing antaranya dengan Toyota Corolla Altis dan Honda Civic. Tetapi harganya pula berada dalam kategori kenderaan segmen B — seperti Honda City dan Toyota Vios.

Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Merujuk risalah rasminya, Proton S70 mempunyai ukuran 4,602 mm panjang, 1,809 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,627 mm. Ini sebenarnya lebih kecil berbanding ukuran Geely Emgrand, yang kami gunakan untuk perbandingan dalam artikel-artikel sebelum ini. Dengan angka rasmi dari Proton ini, S70 hanya 13 mm lebih panjang dari Honda City RS, dengan 61 mm lebih lebar juga.

Untuk jarak antara roda, model Proton ini 27 mm lebih panjang. S70 juga lebih panjang dan lebih lebar berbanding Preve dan Inspira, dua model segmen C Proton sebelum ini. Proton juga menyatakan, S70 mengikut jejak penawaran Wira, Waja dan Preve. Disebabkan faktor inilah Proton memposisikannya dalam segmen C. Kami membincangkan hal ini secara khusus di sini. Ambil maklum juga tentang perbezaan ukuran dimensi terbaru yang rasmi seperti dikongsi oleh Proton.

Untuk enjin, jika Geely Emgrand menggunakan unit enjin 1.5 liter NA, Proton S70 pula dilengkapi dengan enjin turbo unit 1.5 liter tiga-silinder yang turut digunakan untuk X50 Standard dan Premium, dan bukannya unit 1.5 liter TGDi dengan janaan 177 PS/255 Nm yang digunakan untuk X50 Flagship dan X70 MC.

Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Sama seperti varian X50 selain Flagship, unit enjin 1.5L PFI tersebut menjana sejumlah 150 PS/226 Nm output untuk Proton S70 juga. Sekadar perbandingan, Civic dengan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC turbo menghasilkan kuasa sebanyak 182 PS dan 240 Nm — 32 PS dan 14 Nm lebih tinggi berbanding Proton S70.

Enjin 1.5 liter turbo PFI tersebut tentunya dipasang di Tanjung Malim, Perak, sejak untuk kegunaan SUV X50 lagi. Kini dilanjutkan penggunaannya bagi sedan Proton S70 ini. Sedangkan, enjin 1.5L NA oleh Geely yang digunakan untuk Emgrand pasaran luar pula belum pernah digunakan oleh mana-mana model Proton.

Disebabkan itu jugalah, pemilihan enjin turbo berkenaan boleh dijangka dan merupakan pilihan paling praktikal dari aspek skala ekonomi dan akan memudahkan Proton untuk merencanakan pengeluarannya di sini. Sistem janaan kuasa bagi S70 ini digandingkan pula dengan transmisi klac basah DCT tujuh-kelajuan (7DCT), yang juga sudah pernah digunakan untuk model Proton sebelum ini.

Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Ruang dalaman Proton S70 juga kelihatan sedikit lebih premium berbanding dengan model Emgrand yang dijual di pasaran Filipina dan juga bahkan di China. Sebagai contoh, tombol gear S70 lebih pendek dengan permukaan sentuhan yang luas, sama seperti yang digunakan untuk model X90, yang tentunya nampak lebih premium.

Lain-lain bahagian yang dikongsi dengan model Proton yang lain termasuklah roda stering yang sama dengan X50. Banyak bahagian dalaman sedan ini juga diberikan material sentuhan lembut, dengan adanya juga corak permukaan yang diilhamkan dari corak songket — terutamanya di bahagian papan pemuka dan perehat lengan di pintu.

Aspek pemanduan dan kendalian juga menurut Proton telah banyak penambahbaikan dilakukan terhadap Proton S70 berbanding Emgrand: S70 ditala dan disesuaikan untuk penggunaan di jalan raya Malaysia, dengan menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dari segi pemanduan lebih tangkas, dan bukannya dengan tetapan lembut untuk keselesaan maksimum seperti yang diberikan di pasaran lain.

Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Selain itu, Proton S70 juga hadir dengan tiga mod pemanduan: Eco, Sport dan Comfort. Skrinnya juga dilengkapi dengan saiz 10.3-inci untuk paparan kombinasi meternya, sementara untuk infotainmen ia menerima skrin sentuh bersaiz 12.3-inci — dengan sistem yang hadir bersama kapasiti storan 64 GB serta 6 GB memori.

Semua varian menggunakakn sistem janaan 1.5T 7DCT yang sama, hadir dengan enam beg udara, bantuan menukar lorong dan brek parkir elektronik. Varian Executive datang dengan kerusi balutan fabrik, lampu halogen, rim 16-inci dan head unit 8.0-inci. Untuk mendapatkan lampu LED (projektor) dan lampu belakang LED, pelanggan perlu memilih varian Premium, yang juga datang dengan kemasan balutan kulit buatan, kawalan pendingin automatik dan kamera undur.

Untuk sistem bantuan pemandu ADAS pula hanya diberikan untuk varian Flagship ke atas. Ciri seperti AEB dengan amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, amaran penukaran lorong dengan penghindaran, kawalan ke tengah lorong, maklumat papan tanda trafik, kawalan lampu tinggi pintar, amaran titik buta, amaran membuka pintu, amaran perlanggaran belakang dan amaran lintasan trafik belakang.

Proton S70 2024 dilancar di Malaysia — empat varian; 1.5T 7DCT; bersaing harga Vios/City, RM74k-RM95k

Varian Flagship juga datang dengan sistem peninjau tekanan tayar, rim aloi 17-inci, dua skrin kokpit (10.3-inci untuk meter, 12.3-inci untuk infotainmen), pengecas tanpa wayar, kerusi pemandu larasan kuasa dan kamera keliling dengan paparan 3D.

Pilihan warna untuk Flagship X pula ada juga Snow White, Space Grey, Marine Blue dan Teal Bayou Green. Lain-lain warna yang ada, bergantung kepada varian ialah Quartz Black, Passion Red dan Armour Silver.

Perincian perbezaan spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Proton S70 2024 Executive — RM73,800

    Kelengkapan standard:
    Mekanikal

  • Enjin 1.5 liter DOHC MPI turbocas tiga-silinder
  • 150 PS pada 5,500 rpm, 226 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm
  • Transmisi automatik 7-kelajuan klac basah berkembar dengan mod manual
  • Stereng kuasa elektrik (EPS)
  • Brek parkir elektronik dengan Auto Hold
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Cakera brek berliang (depan), cakera solid (belakang)
  • Kapasiti tangki minyak 50 liter
  • Luaran

  • Lampu halogen
  • DRL LED
  • Rim aloi 16-inci dengan profil tayar 205/55
  • Cermin sisi larasan kuasa, lipatan manual
  • Dalaman

  • Masukan pintar dengan butang Push Start
  • Penghidup enjin jarak jauh
  • Kawalan melayar
  • Mod Pemanduan — Eco, Comfort, Sport
  • Roda stereng urethane
  • Stereng larasan atas-bawah dan teleskopik
  • Butang kawalan di stereng
  • Skrin 8-inci untuk sistem infotainmen dengan Bluetooth
  • Empat pembesar suara
  • Slot USB ada lima; tiga di depan dan dua di belakang
  • Panel meter analog
  • Pendingin tetapan manual dengan penapis udara N95 dan corong belakang
  • Kerusi balutan fabrik
  • Tingkap larasan elektrik untuk semua
  • Keselamatan

  • Enam beg udara (depan, sisi, dan tirai)
  • VSA, ABS, EBD, bantuan brek
  • Bantuan mendaki bukit
  • Amaran perlanggaran belakang
  • Bantuan menukar lorong
  • Amaran lintasan trafik belakang
  • Amaran membuka pintu
  • Sensor undur, tiga-mata
  • Proton S70 2024 Premium — RM79,800

    Tambahan:
    Luaran

  • Lampu utama LED automatik
  • Cermin sisi lipatan automatik
  • Lampu LED kelebaran penuh di belakang
  • Dalaman

  • Stereng balutan kulit buatan
  • Kerusi balutan kulit buatan
  • Pendingin automatik, zon tunggal
  • Perehat lengan belakang
  • Tingkap berkuasa “anti-trap”
  • Keselamatan

  • Kamera undur
  • Sensor parkir depan, dua-mata
  • Proton S70 2024 Flagship — RM89,800

    Tambahan:
    Luaran

  • Rim aloi 17-inci dwi-tona dengan profil tayar 205/50
  • Ciri bukaan kunci ruang barangan automatuk
  • Dalaman

  • Pilihan mod stereng — Comfort, Normal, Sport
  • Panel meter digital LCD penuh
  • Filem penapis haba
  • Kerus pemandu larasan kuasa, enam-arah
  • Skrin sentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen dengan 4G dan WiFi
  • Arahan suara, tunjuk arah, strim muzik, ramalan cuaca
  • Aplikasi Proton Link dengan status kenderaan, kawalan jauh
  • Pengecas tanpa wayar
  • Enam pembesar suara
  • Keselamatan

  • AEB
  • Amaran perlanggaran depan
  • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
  • Kawalan melayar pintar
  • Amaran menukar lorong
  • Penghindaran menukar lorong
  • Kawalan ke tengah lorong
  • Maklmat papan tanda trafik
  • Lampu tinggi automatik
  • Sistem peninjau tekanan tayar
  • Kamera keliling dengan paparan 3D
  • Proton S70 2024 Flagship X — RM94,800

    Tambahan:
    Luaran

  • Sunroof
  • Keselamatan

  • Dashcam depan

Ketika pelancarannya, Proton S70 didatangkan dengan pakej standard yang terdiri daripada jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima-tahun (bagi varian Flagship/Flagship X), enam kali caj buruh percuma untuk servis, kadar faedah pembiayaan dari 2.34% setahun serta program insurans Proton.

Selain itu, ada pakej khusus untuk pembeli terawal Proton S70, terhad untuk 3,000 pembeli pertama sahaja. Ini termasuklah aksesori bodykit percuma bernilai RM3,130 (untuk varian Flagship sahaja), baucar servis bernilai RM500 (untuk Premium dan Flagship sahaja) dan program insurans Proton yang dipertingkat (pelindungan bencana khas percuma untuk tahun pertama).

Proton S70 2024 Executive

Proton S70 2024 Premium

Proton S70 2024 Flagship X

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required