Proton telah pun mengesahkan pilihan varian untuk sedan segmen-C baharunya, Proton S70 yang bakal dilancarkan sedikit masa lagi. Keempat-empat varian berkenaan iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X kesemuanya dijana oleh satu jenis enjin iaitu 1.5 liter tiga silinder dengan sistem suntikan bahan api konvensional (PFI) yang menjana 150 PS dan tork maksima 226 Nm.
Ia berbeza dengan penawaran pada Proton X50 di mana varian tertinggi SUV segmen-B tersebut turut menerima pilihan enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang lebih berkuasa, menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Jadi mengapa S70 tidak ditawarkan dengan enjin yang lebih bertenaga ini?
Menurut Proton dalam sesi pra-tonton model ini dua minggu lalu (artikel pandu uji boleh anda baca pada PAUTAN INI), sebelum memulakan pembangunan model ini, pelbagai perkara telah diteliti termasuk penggunaan bahan api, karekteristik pengendalian, harga, sasaran pasaran dan sebagainya. Dan menerusi kajian dan penyelidikan, enjin 1.5 liter Turbo PFI ini sudah cukup memadai dan seimbang dari segi memenuhi kehendak pelanggan dalam sasaran pasaran yang ditetapkan dan menetapkan harga akhir kereta yang cukup kompetitif.
Sekiranya enjin 1.5L T-GDI dipadankan pada varian tertinggi Proton S70 ini, harga jualannya sudah tentu lebih tinggi dan ia mungkin mengalih selera pembeli kepada model-model pesaingnya. Walaupun atas kertas enjin 1.5L Turbo PFI berkenaan kurang 22 PS/29 Nm berbanding versi T-GDI, ia masih merupakan antara enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya.
Jika dibandingkan enjin 1.5L Turbo pada Honda Civic FE, enjin dalam perut S70 ini adalah 32 PS/14 Nm kurang berkuasa. Namun ia masih lagi sebuah sedan segmen-C yang lebih berkuasa dari Toyota Corolla Altis yang dijana oleh enjin 1.8L NA berkuasa 139 PS/173 Nm. Satu lagi saingan S70 di Malaysia iaitu Mazda 3 pula menerima enjin 2.0 liter NA berkuasa 162 hp/213 Nm.
Walaupun berada diletakkan dalam saingan sedan segmen-C, Proton S70 ini dijangka akan dijual dalam julat harga model-model sedan segmen-B seperti Honda City dan Toyota Vios, di mana kedua-dua model dari jenama Jepun tersebut hanya menerima enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT. Ini sudah tentu menjadi kelebihan yang besar buat Proton S70 sekiranya pengguna membuat pilihan berdasarkan harga dan bukan segmen.
Pendapat anda pula bagaimana? Adakah Proton masih perlu menghasilkan satu lagi varian dengan enjin 1.5L T-GDI dan anda sanggup membayar harga lebih untuk pilihan lebih berkuasa tersebut? Atau enjin sedia ada sememangnya sudah cukup memadai?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.
Tak jadi nak book .ingatkan variant flagship guna TGDI
Fikirkan harga alat ganti proton yg sangat mahal..s70 pakai dct…harga gearbox dct mencapai rm30k utk model x70…tidak tahu la s70 ni
Utk engine turbo tu.. bukan direct injection lagi bagus utk long term. Siapa yg pakai DI lama² tau la kena ada tambahan maintenence utk area inlet valve silinder tu…. engine yg high end siap bg dual injection utk elak masalah carbon build up.
Memang mantap ah..engine turbo dan DCT…
Kalau dulu²..orang kecam proton sebab pakai engine timing belt. Sekarang isu spare part susah dan mahal pulak… adoi.. kesian proton.