Semalam Toyota Motor Thailand baru sahaja melancarkan trak pikap Toyota Hilux Champ bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia adalah kemunculan sulung rasmi model berkenaan bagi peringkat global. Hilux Champ bukanlah model pengganti bagi trak pikap Hilux sedia ada, tetapi ia adalah model yang bukan sahaja lebih mampu milik, malah direka dengan dek belakang inovatif bagi membolehkan ia diubahsuai dengan mudah mengikut kehendak pengguna.
Menurut Toyota, dek belakang Hilux Champ ini menampilkan banyak lubang bolt, membolehkan pengubahsuaian yang dilakukan hanya menggunakan bolt dan nat. Dan bagi lebih memudahkan pengguna menghasilkan Hilux Champ mengikut selera masing-masing, TMT turut menyediakan informasi lebih 100 bengkel-bengkel dan pengeluar aksesori di seluruh Thailand yang boleh melakukan tugas tersebut.
Informasi berkenaan boleh didapati menerusi portal modifikasi khas yang diwujudkan dalam laman sesawang rasmi Toyota Thailand, yang bukan sahaja menunjukkan pelbagai contoh Hilux Champ yang sudah diubahsuai dalam pelbagai versi kegunaan, malah laman tersebut turut disertakan dengan peta lokasi bengkel-bengkel dan pengeluar aksesori tersebut.
Ada pelbagai kategori disediakan bagi ubahsuai ini iaitu kabin kabinet kering, kabin dengan peti sejuk, RV (rumah bergerak atau motorhome), kenderaan untuk aktiviti berkhemah (camper), kenderaan servis bergerak atau trak makanan, serta pelbagai ubahsuai lain termasuk untuk ubahsuai rupa dan juga prestasi.
Antara pengeluar aksesori yang terlibat dalam pengubahsuaian ini adalah TJM, Carryboy, Cube Ryder, Mongkolchai Body (MKC), MPC, ECU Shop dan pelbagai lagi.
Bagi menggunakan portal modifikasi ini, pelanggan hanya perlu nyatakan lokasi mereka dan jenis pengubahsuaian yang mahu dilakukan. Kemudian laman berkenaan akan memberikan lokasi dan juga nombor untuk menghubungi penyedia perkhidmatan tersebut yang terdekat.
Toyota Hilux Champ masih lagi menggunakan kerangka ladder frame Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) yang sama seperti Toyota Hilux, Fortuner dan juga Innova. Ia dijual di Thailand pada harga bermula 459,000 baht (RM61k) hingga 577,000 baht (RM77k), hanya ditawarkan dalam versi single bed dengan dua tempat duduk serta hanya memacu roda belakang.
Toyota Motor Thailand (TMT) menawarkan lapan gred Hilux Champ untuk kegunaan komersil dan persendirian, dalam versi jarak roda pendek dan panjang, serta tiga varian enjin berbeza iaitu enjin petrol empat silinder 2.0 liter dan 2.7 liter serta enjin diesel 2.4L.
Untuk versi petrol enjin yang ditawarkan adalah enjin 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS dan tork maksima 185 Nm dan 2TR-FE 2.7 liter berkuasa 166 PS/245 Nm. Manakala versi diesel pula, Hilux Champ menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS – versi manual lima-kelajuan diberikan talaan tork hanya 343 Nm dan versi automatik enam kelajuan pula ditala dengan tork 400 Nm.
GALERI: Toyota Hilux Champ 2023 pasaran Thailand
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Any company is bringing in TOYOTA CHAMP RV into Malaysia?