Huawei Aito M9 dilancarkan di China – SUV elektrik dengan range extender, jarak gerak sehingga 1,210 km

Huawei Aito M9 dilancarkan di China – SUV elektrik dengan range extender, jarak gerak sehingga 1,210 km

Huawei telah melancarkan Aito M9 di China, yang akan bersaing dengan model seperti BMW X7 dan Mercedes-Benz GLS. Model kerjasama dengan Seres ini menyertai barisan model Aito yang lain iaitu M5 dan M7. Di China, antara saingan lain M9 adalah Li Auto L9, Nio ES8, HiPhi X dan Hongqi E-HS9.

Menggunakan bentuk dengan garisan yang lembut, M9 juga datang dengan pembuka pintu jenis rata dengan badan, lampu segitiga dengan sambungan jalur lampu di tengah serta pencahayaan lampu belakang bercorak. Anda juga boleh mendapati terdapat logo HIMA, yang bermaksud Harmony Intelligent Mobility Alliance, iaitu satu kerjasama antara Huawei dengan Aito, Luxeed, BAIC Motor dan JAC Motors.

Berkenaan harga, M9 dijual bermula pada 469,800 yuan (RM303,474) untuk varian asas EREV Max, diikuti 509,800 yuan (RM329,312) untuk EV Max, 529,800 yuan (RM342,231) untuk EREV Ultra dan 569,800 yuan (RM368,070) untuk EV Ultra.

Varian EREV datang dengan range extender yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter yang bertindak sebagai generator untuk bateri ternary lithium berkapasiti sama ada 42 kWh atau 52 kWh pada model ini. Bateri ini memberikan kuasa kepada dua motor elektrik, dengan yang di hadapan berkemampuan 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan tork 315 Nm, manakala yang di belakang mampu menghasilkan 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 360 Nm.

Tetapan pacuan empat roda ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, dan kelajuan maksimum 200 km/j. Aito mendakwa, dengan tangki bahan api 65 liter, varian EREV boleh memberikan jarak gerak mengikut WLTC sehingga 1,210 km (bateri 42 kWh) atau 1,239 km (bateri 52 kWh). Tanpa bergantung kepada range extender, jarak gerak menggunakan elektrik adalah 190 km bagi bateri 42 kWh, dan 233 km bagi bateri 52 kWh (WLTC).

Varian EV juga datang dengan tetapan dua motor serta pacuan empat roda, tetapi kuasa motor elektriknya telah dilaras semula. Motor yang berada di hadapan mampu menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 277 Nm, sementara motor yang di belakang pula menghasilkan 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 396 Nm.

Laju maksimum varian EV adalah sama seperti EREV, tetapi masa pecutan 0-100 km/j adalah lebih pantas, iaitu 4.3 saat. Varian EV dibina menggunakan tetapan elektrikal 800 volt dan menampilkan bateri ternary lithium 100 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 630 km.

Untuk pengecasan, Aito mendakwa, bateri varian EREV akan mengambil masa lima jam untuk naik dari 20-90% menggunakan input AC 7 kW, atau tiga jam menggunakan AC 11 kW. Kapasiti mengecas menggunakan DC tidak diberitahu tetapi syarikat itu mendakwa ia boleh naik 20-80% dalam masa 30 minit.

Huawei Aito M9 dilancarkan di China – SUV elektrik dengan range extender, jarak gerak sehingga 1,210 km

Bagi varian EV pula, pengecasan menggunakan input AC akan mengambil masa 11.7 jam (7 kW) dan 7.5 jam (11 kW) untuk naik 20-90%, manakala apabila menggunakan input DC (kapasiti tidak diberitahu), ia akan naik 30-80% dalam masa 15 minit.

Semua varian M9 datang secara standard dengan suspensi udara bersama tahap pelarasan sehingga 80 mm, rim 21 inci (22 inci disediakan sebagai pilihan tambahan), gril aktif, bumbung panoramik kaca serta pintu tutup lembut (versi Ultra mendapat pintu bukaan elektrik).

Barang-barang teknologi juga ada pelbagai, seperti lampu utama LED matriks adaptif yang dibangunkan sendiri oleh Huawei. Menariknya dengan lampu ini, ia mempunyai projector dan boleh menjadikan sebarang permukaan rata di hadapan sebagai skrin 100 inci.

Bukan setakat boleh dijadikan seperti panggung wayang bergerak, lampu ini juga boleh memancarkan lirik di hadapan jika anda rasa seperti hendak menyanyi. Jika mahu menonton seperti biasa, ada skrin 32 inci dan laser projector untuk penumpang di bahagian dalam kenderaan.

Selain daripada itu, terdapat tiga skrin di atas papan pemuka, termasuk panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sesentuh infotainmen 15.6 inci di tengah serta skrin sesentuh 16 inci untuk penumpang hadapan. Pemandu juga disediakan dengan head-up display 75 inci dengan augmented reality varian UItra, manakala setiap empat penumpang di belakang disediakan dengan skrin sesentuh jenis tablet sendiri.

Sistem yang digunakan untuk infotainmen adalah Huawei HarmonyOS 4, yang kemudiannya dibantu lagi dengan sistem audio 25 pembesar suara 2,080 watt. Menjadikan keadaan dalam SUV lebih meriah, lampu suasananya juga boleh diselarikan dengan lagu.

Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk pengawal suhu dengan pengesan kualiti udara, pemerhati PM2.5, penjana ion negatif, penapis kabin N95, dua pad pengecas tanpa wayar, kunci ultra wideband, kad kunci NFC, V2L, V2V serta pengenalan muka.

M9 cuma datang dengan tetapan enam tempat duduk, yang boleh dilaras pelbagai cara, dan sistem keselamatan yang disediakan termasuk Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Smart Assisted Parking dan pemanduan semi-autonomous.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required