Great Wall Motor (GWM) Ora 07, yang juga dikenali sebagai Lightning Cat atau Grand Cat dilancarkan untuk pasaran Thailand dalam dua varian, Long Range pada harga 1.299 juta baht (RM174,648), dan Performance pada 1.499 juta baht (RM201,655).
Kedua-dua varian bagi sedan fastback elektrik penuh ini didatangkan dengan bateri ternary lithium 83.5 kWh, yang menggerakkan motor elektrik terletak di hadapan, berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm bagi varian Long Range. Varian Performance pula datang dengan tetapan dua motor, pacuan semua roda dan kuasa 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan tork 680 Nm. Varian Performance boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j, sementara Long Range cuma boleh mencecah kelajuan 170 km/j.
Berkenaan jarak gerak, dengan sekali cas penuh, Long Range boleh memberikan sehingga 640 km (NEDC), manakala Performance menawarkan jarak 550 km. Informasi lengkap berkenaan pengecasan tidak disiarkan oleh GWM, tetapi bateri 07 boleh naik 30-80% dalam masa 30 minit melalui pengecasan pantas DC. Turut disediakan adalah fungsi Vehicle-to-Load (V2L).
Pelbagai mod disediakan pada kenderaan ini, bermula dengan lima mod pemanduan iaitu Eco, Well Being, Normal, Sport dan Individual – varian Performance mendapat tambahan mod Sport+. Kemudiannya bagi stereng, ada tiga mod iaitu Light, Comfort and Sport. Turut disediakan adalah Auto Brake Hold untuk brek parkir dan mod pemanduan satu pedal.
Pilihan warna yang diberikan untuk Long Range adalah putih atau kelabu, sementara Performance mendapat pilihan tambahan warna ungu. Kelengkapan yang diberi standard adalah termasuk rim 18 inci, lampu utama LED dengan lampu tinggi automatik, DRL LED, lampu belakang LED, lampu kabus LED, gril aktif, pengelap cermin automatik dan bumbung panoramik.
Di dalam, Long Range mendapat kemasan warna hitam, lampu suasana, tempat duduk balutan kulit dengan larasan kuasa untuk hadapan, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, panel instrumen digital 10.25 inci, pad pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik, skrin infotainmen 12.3 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, 11 pembesar suara serta telematik dengan aplikasi khas.
Bagi varian Performance, kelengkapannya dinaik taraf dengan rim 19 inci, spoiler belakang aktif, pintu but bukaan kuasa, lampu suasana yang lebih menarik, tempat duduk dengan sokongan lumbar, liang udara dan fungsi mengurut, head-up display serta amplifier khas untuk sistem bunyi. Warna kemasan dalam juga boleh dipilih sama ada coklat atau hitam.
Sistem keselamatan dan bantuan pemandu kedua-dua varian hampir sama, termasuk enam beg udara, kamera 360 darjah, Adaptive Cruise Control dengan Cornering Assist dan Traffic Jam Assist, Front and Rear Collission Warning, Autonomous Emergency Braking, Manoeuvre Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring, Wisdom Dodge System, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Hill Start Assist dan Tyre Pressure Monitoring System.
Varian Performance kemudiannya ditambah baik dengan enam sensor parkir di hadapan dan belakang, Park Assist serta bantuan undur automatik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.