Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mengemaskini makluman berhubung laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya yang ditutup setahun sebelum ini. Menurut Rapid Rail, kerja-kerja pembaikian struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya kini memasuki fasa terakhir.
“Bergantung pada hasil ujian dan kelulusan oleh pihak berkuasa, pembukaan semula laluan antara Masjid Jamek-Bandaraya dijangka pada 29 Februari 2024,” kata Rapid Rail menerusi laman Facebook Rapid KL.
Sebelum ini Rapid Rail berkata, perancangan asal bagi menyiapkan kerja-kerja pembaikan serta pengoperasian normal laluan tersebut adalah pada pertengahan Oktober 2023. Namun, penambahan masa tersebut terpaksa dilakukan kerana selain daripada kerosakan asal pada jejambat 163, beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat-jejambat yang berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165, yang memerlukan pembaikan yang menyeluruh.
Pada hujung Januari tahun lalu, akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak. Hasil siasatan mendapati ada sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.