Susulan kes sebuah Perodua Bezza yang mengalami masalah enjin pada hari pertama ianya dibeli Oktober lalu, pemiliknya baru sahaja membuat hantaran facebook menyatakan bahawa syarikat tersebut bersetuju bagi membeli kereta itu dengan harga penuh.
“Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama, dan semua bayaran sebelum ni pun saya akan dapat semula pemulangan wang.
“Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain,” kata pemilik Bezza berkenaan, Nagakanni Subramaniam dalam hantaran yang dibuat.
Dalam hantaran yang sama Nagakanni turut berterima kasih kepada Perodua dan semua yang terlibat bagi membantunya menyelesaikan masalah ini.
Beberapa hari lalu Nagakanni membuat satu hantaran yang menyatakan Perodua Bezza yang baru dibeli Oktober lalu kini tersadai di pusat servis Perodua kerana masalah enjin, hanya selepas 46 km digunakan. Hantaran itu juga menyebut siasatan awal dari pihak Perodua mendapati terdapat bendasing di dalam enjin berkenaan seperti gula yang menyebabkan kerosakan tersebut.
Rundingan antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara ini masih belum dimuktamadkan setelah sekian lama mendorong Nagakanni membuat hantaran yang tular di media sosial itu. Walau bagaimanapun pihak Perodua masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi dari berhubung penyelesaian ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.