Kebiasaannya, proses membeli kenderaan sangat mudah. Akan ada pembantu atau penasihat jualan (SA) yang membantu segala urusan berkaitan pembelian berkenaan, dan ia merupakan satu pengalaman yang sangat senang untuk pelanggan. Tetapi, bagaimana jika peranan SA itu tiada lagi? Bagaimana keadaan tersebut merubah proses pembelian kenderaan selepas ini? Ternyata, hal tersebut adalah sebahagian daripada pengalaman yang perlu anda lalui sekiranya ingin membeli kereta dari Tesla.
Untuk mencari tahu tentang keputusan dan bagaimana seorang pelanggan melalui proses pembelian kereta elektrik berkenaan, kami menyoroti pengalaman seorang pelanggannya, Barry Lim, yang baru sahaja membeli dan menerima serahan Tesla Model 3 Highland baru-baru ini. Jadi, bagaimana sebenarnya proses membeli sebuah Tesla dari saluran rasminya di Malaysia?
Kenapa beli sebuah Tesla
Profil Barry adalah seperti berikut — seorang lelaki separuh usia dan berkahwin, dan mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Dia tinggal di rumah bawah (landed house) di kawasan kelas menengah di Lembah Klang. Sebelum ini, dia pernah memiliki beberapa kenderaan (sebahagian besarnya bukan dari jenama Jepun) dan ini kenderaan BEV pertamanya.
Barry berminat dengan kereta dan teknologi. Dan EV mempertemukan kedua-duanya, dengan Tesla sejak awal menjadi jenama yang membawa semangat itu, dan menerima jolokan “gajet teknologi dalam bentuk kereta”.
Barry mempertimbangkan EV sejak beberapa tahun lalu, atas faktor dan kesedaran mesra alam. Namun, kekurangan infrastruktur dan situasi industri kereta di Malaysia yang masih kurang kondusif ketika itu telah menjadi sebab dia menangguh keputusan tersebut. Begitu juga dengan insentif kerajaan yang diberikan terhadap EV, yang hanya datang selepas itu. Teknologi EV yang ketika itu masih baru dan belum matang menjadikan pilihan berkenaan kurang praktikal dan belum kompetitif.
Setelah insentif EV kerajaan diperkenalkan, pengeluar utama pula masih ingin mengekalkan margin yang besar walaupun boleh memberikan tawaran yang lebih menarik sepanjang tempoh bebas cukai EV bagi model CBU yang dibawa. Pengalaman peribadi Barry yang boleh dikongsikan untuk dijadikan contoh ialah MINI Cooper SE yang menarik minatnya. Ia sebuah model peringkat kemasukan dengan harga “pra-bebas cukai” ialah RM225k. Harga bebas cukai yang diumumkan selepas itu pula ialah RM184k, sebelum kemudiannya naik mencecah RM200k.
Ini menjadikan pelanggan sepertinya berfikir dua kali kerana seolah-olah dipermainkan, walaupun dengan kehadiran insentif daripada kerajaan. Tidak banyak manfaat yang boleh diraih sebagai kelompok pendahulu yang menggunakan EV jika begitu. Tambahan pula, ada kesedaran lain bahawa kereta yang berusia dua atau tiga tahun juga tidak begitu berisiko dan tidak terlalu sukar untuk diperoleh, maka dia tangguhkan dulu hasrat itu dan menunggu model-model seperti Mercedes-Benz EQE/Audi Q8 e-tron/Porsche Taycan masuk ke pasaran kereta terpakai.
Namun, semua ini berubah dengan pengumuman kemasukan jenama Tesla ke Malaysia. Jangkaan awalnya, model popular seperti Model Y dan Model 3 akan dijual dengan harga yang mampu bersaing dengan Mercedes-Benz EQB/BMW iX3 dan Mercedes-Benz EQA/Hyundai Ioniq 5. Apalagi EV dari pengeluar China juga memawarkan kereta mereka pada harga menghampiri RM200k berbanding yang berada di sekitar RM100k.
Ketika Tesla Malaysia mengumumkan harga Model Y bermula RM199k (yang terus ditempah oleh Barry), dan kemudian mengumumkan Model 3 Highland facelift pada harga RM189k, dia tidak perlu berfikir panjang untuk meletakkan wang pendahuluan RM1k (tidak boleh dipulangkan dan bukan sebahagian daripada harga kereta). Ini dia lakukan pada hari pertama Model 3 Highland diumumkan di Malaysia, iaitu pada 1 September 2023.
Model 3 Highland yang Barry tempah ialah versi Long Range (RM218k), dalam warna biru (dan warna dalaman hitam standard) dengan tambahan RM5k untuk itu. Sebagai tambahan, Barry memilih Enhanced Auto Pilot (EAP), yang melibatkan tambahan RM16k, menjadikan jumlah pembeliannya RM239k.
Tempoh menunggu
Pengalaman pembelian Tesla memang diketahui tidak sama dengan jenama lain. Apa yang dimaksudkan, pembeli langsung tidak akan berurusan dengan penasihat atau agen jualan (SA), terutama ketika anda membuat tempahan secara dalam talian. Jika hadir ke bilik pameran Tesla, peranan penasihat jualan berkenaan berakhir selepas mengambil tempahan.
Untuk bulan pertama (Oktober 2023), tiada apa sangat yang perlu dilakukan oleh Barry atau menerima sebarang kemaskini. Masuk bulan kedua, Barry dihubungi oleh agen serahan Tesla: peranannya hanya untuk membantu pembeli untuk menerangkan langkah dan proses sehingga kereta mereka diterima.
Jadi, langkah pertama adalah untuk mendapatkan kelulusan bank. Jika anda pegawai bank sendiri, Tesla Malaysia akan memberikan nombor untuk dihubungi. Bank panelnya ialah Maybank dan Ambank, mungkin. Barry memilih Maybank melalui cadangan teman lain.
Selepas pinjaman lulus pada awal November tahun lalu (bulan ketiga), sekali lagi tiada apa-apa kemaskini. Barry sempat berkunjung ke HQ Tesla di Cyberjaya untuk melihat kereta berkenaan depan mata buat kali pertama. Bagaimanapun, tiada pandu uji disediakan.
Kemudian, dalam bulan berikutnya, Barry dihubungi oleh agen serahan dan memaklumkan yang keretanya telah diperuntukkan dan ada dalam sistem. Ini juga terus ditunjuk dalam aplikasi mudah alih Tesla, dengan nombor VIN sekali. (Akaun akan diberikan sebaik tempahan dibuat). Dengan VIN, Barry boleh teruskan dengan langkah seterusnya.
Dalam kes Barry, dia mahu mengekalkan nombor pendaftaran dari kereta lama untuk dipindahkan kepada kereta Tesla baru ini. Proses penukaran melibatkan JPJ ini menambah kerumitan lain dan tidak perlu dilalui sekiranya anda menggunakan nombor pendaftaran baru.
Proses berkenaan memerlukan nombor pendaftaran lama pada kereta sedia ada terus dipindahkan ke kereta baru dan tidak boleh dibiarkan “terapung” walaupun dalam masa sesingkat apa pun. Kereta Tesla berkenaan bagaimanapun masih belum tiba (dan hanya diwakili oleh borang K1 oleh Kastam sebaik ia tiba ke negara ini), maka pindahan tersebut tidak boleh dilakukan.
Perlu juga diingat, kereta lama tersebut juga memerlukan “nombor pendaftaran baru” untuknya sepanjang proses pemindahan ini — mana-mana kereta lama yang pernah didaftarkan dengan JPJ sebelum itu tidak boleh mempunyai “nombor lama” berkenaan; sama ada kereta ata nombor yang terlibat perlu baru atau belum pernah didaftarkan dengan JPJ. Ini, ada yang berpendapat, bertujuan untuk melindungi model perniagaan AP kereta terpakai di sini.
Jadi, walaupun pinjaman dan insurans (yang dikeluarkan tanpa nombor pendaftaran tersedia) sudah ada (walaupun ada dramanya sendiri kerana bank juga tidak pasti dengan proses melibatkan Tesla Malaysia), langkah utama adalah (1) penukaran, dan (2) pendaftaran kereta sebenar tidak boleh diteruskan sehinggalah tiba pada hari serahan kereta terbabit, iaitu pada 1 Disember 2023.
JPJ dan urusannya
Ringkasnya, kami perlu membawa dua borang ke JPJ: (1) Borang B2 yang dikeluarkan oleh Puspakom selepas pemeriksaan kereta lama untuk tujuan penukaran nombornya, dan (2) borang K1 yang dikeluarkan Kastam sebaik tibanya kereta itu di Malaysia. Tesla Malaysia tidak dapat memberikan Barry borang K1 berkenaan sehinggalah pada pagi Jumaat, 1 Disember 2023 — hari yang sama Barry sepatutnya menerima keretanya pada jam 2.45 pm.
Oleh kerana ada urusan lain pagi itu, Barry hanya sempat ke JPJ sebelum sesi pagi ditutup untuk sembahyang Jumaat. Barry pelanggan terakhir untuk sesi tersebut. Dengan pendaftaran baru dari JPJ untuk kereta Tesla-nya, Barry kemudiannya menuju ke Tesla Cyberjaya untuk slot penyerahan keretanya itu.
Serahan, dan penerimaan kereta
Proses serahan dan penerimaan kereta Tesla juga merupakan pengalaman yang baru. Pelanggan ditetapkan mengikut kelompok, dan hadir mengambil kereta mereka bersama. Sekurang-kurangnya, ini la pengalaman serahan pada peringkat awal oleh Tesla Malaysia.
Pelanggan tiba dan dibawa ke meja pendaftaran. Daripada senarai panjang yang ada, pelanggan maklumkan nama mereka sebelum diminta untuk menunggu. Seterusnya, pelanggan di bawa ke bilik taklimat, sebelum seorang wakil dari Tesla memberikan penerangan tentang pemilikan dan operasi kereta Tesla — misalnya memilih pandu atau undur kereta menerusi skrin di tengah, serta kendalian butang stereng berbanding tuil lampu isyarat. Akhirnya, secara berkumpulan, pelanggan dibawa ke ruang serahan.
Kemudian mereka diberikan kad kunci masing-masing secara rawak — mengikut nombor pendaftaran masing-masing. Dua pilihan diberikan selepas itu: untuk pergi sendiri ke ruang parkir dan terus pandu pulang, atau (B) lakukan A kemudian tunggu giliran untuk memandu masuk ke ruang serahan, letakkan ribon besar dan ambil gambar kenangan. Barry memilih urutan B. Jadi, selepas tiga bulan dari tarikh tempahan, Barry menerima kereta Tesla Model 3 Highland-nya dalam kelompok antara yang terawal.
Pandangan selepas menggunakan kereta Tesla
Adakah Barry gembira dengan Model 3 Highland sebagai sebuah produk? Jawapannnya ya! Berbanding Model 3 sebelum ini, ada banyak peningkatan yang memberikan manfaat kepada pemilik. Dan, sekiranya ingin beralih ke EV, adakah Tesla mempunyai kelebihan lain berbanding jenama lain? Menurut Barry, ya hanya untuk satu sebab — rangkaian Supercharger-nya. Perkara inilah yang memberi nilai tambah kepada Tesla.
Adakah berbaloi dan ada banyak kelebihan untuk beralih kepada EV? Ketika ini, Barry mempunyai satu jawapan yang menarik: mengapa perlu isi minyak di stesen minyak untuk kereta ICE jika anda boleh ada “stesen tenaga” di rumah dengan hampir separuh kos berbanding seliter RON 95?
Dan, selagi anda memenuhi kriteria seperti ada rumah bawah untuk kemudahan pengecasan serta ada kereta ICE lain di rumah untuk digunakan untuk balik kampung, anda mungkin bersedia untuk menjadi pengguna EV. Ditambah pula dengan kos pemilikan yang tidak memerlukan servis berjadual, tidak banyak komponen boleh haus (misalnya hanya tayar dan pengilap cermin) dan faktor penggunaan tenaga yang cekap melalui motor elektriknya, EV sentiasa menjadi alternatif yang baik.
Secara ringkasnya, Barry melihat EV sebegai sebuah alternatif yang cukup menarik dan perlu ketika ini, walaupun EV mungkin belum mampu menggantikan kenderaan ICE biasa dalam masa terdekat. Baginya, EV adalah sebuah alternatif untuk masa hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.