Dalam pembentangan rancangan perniagaannya bagi 2024 pagi tadi, Chery Malaysia mengesahkan bahawa SUV segmen-C Tiggo 7 Pro sah bakal dilancarkan pada pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini. Pengumuman tersebut sememangnya sudah dijangka di mana tahun lalu kami sudahpun melaporkan bahawa model itu sudahpun disahkan akan dilancarkan di Malaysia, malah Chery Malaysia sendiri sudahpun mewujudkan Tiggo 7 Pro Facebook group pada akhir tahun lalu.
Chery turut mengesahkan bahawa ketika dilancarkan nanti SUV tersebut akan ditawarkan hanya dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya. Ia akan menampilkan enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 197 hp dan tork maksima 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.
Gandingan ini membolehkan lawan terus kepada Proton X70 dan Honda CR-V tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Chery Malaysia turut membayangkan bahawa Tiggo 7 Pro dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) mungkin turut akan ditawarkan selepas itu.
Antara perincian lain yang turut disahkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk rim aloi 18-inci, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan 17-fungsi, Android Auto dan Apple CarPlay sambungan tanpa wayar, bumbung suria panaromik dan liang pengudaraan pada tempat duduk hadapan.
Selain itu ia juga menerima perincian lazim model-model terkini Chery seperti kamera pemantau ‘540-darjah’, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara dan juga dua buah skrin berkembar untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh keseluruhannya bersaiz 25.6-inci.
Selepas dilancarkan nanti, Tiggo 7 Pro ini akan menjadi model pertengahan antara SUV segmen-B Omoda 5 dan juga SUV segmen-D tujuh tempat duduk Tiggo 8 Pro yang kini sudahpun berada di bilik-bilik pameran Chery Malaysia.
Model ini menampilkan rekaan lebih konvensional dan nampak seperti ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro, dan tidak mempunyai pengaruh rekaan funky dari Omoda 5. Tiggo 7 Pro ini juga menampilkan panjang keseluruhan 4,513 mm – 5 mm lebih pendek dari Proton X70, 113 mm lebih panjang dan 32 mm lebih lebar dari Omoda 5.
Tiggo 7 Pro ini juga dijangka akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) seperti Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang kini diproduksi oleh kilang Inokom di Kulim, Kedah, seterusnya mungkin turut bakal menampilkan harga yang kompetitif. Anda rasa bagaimana? Adakah Tiggo 7 Pro ini boleh menggugat jualan Proton X70?
GALERI: Chery Tiggo 7 Pro PHEV 2023 di China
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.