Minggu lalu, Jaecoo mengadakan sesi pra-tonton untuk dua model SUV premium yang bakal dipasarkan secara rasmi di Malaysia — Jaecoo J7 dan Jaecoo J8. Memang jenama ini ada kaitan dengan Chery, tetapi sebagai sayap kenderaan yang lebih premium bagi pengeluar China itu, Jaecoo akan dipasarkan secara berasingan daripada Chery, dan menggunakan jenamanya sendiri.
Ini perancangan bagi jenama ini untuk pasaran tempatan: ketika dilancarkan secara rasmi nanti, Jaecoo akan mempunyai 20 cawangan pengedar yang sedia beroperasi di seluruh negara. Langkah ini sebenarnya sama dengan apa yang dilakukan Chery ketika ingin masuk semula ke pasaran Malaysia tahun lalu, dengan mempersiapkan lebih 30 cawangan pengedar ketika pelancarannya.
Namun, untuk menyesuaikan imej premium yang dibawa Jaecoo, semua 20 hingga 30 pengedarnya akan menawarkan perkhidmatan sama ada 3S atau 4S sejak awal. Tidak akan ada premis yang hanya 1S sepertimana yang dilakukan Chery sebelum ini.
Tambahan pula, semua pengedar Jaecoo di Malaysia akan berdiri sendiri tanpa sebarang perkongsian premis dengan jenama lain atau bahkan dengan Chery sekali pun. Dua jenama yang saling berkait ini akan ditampilkan sama sekali berlainan, dengan pengalaman pelanggan yang juga berbeza.
Inilah perancangannya buat masa sekarang. Kita akan lihat perkembangan sebenarnya nanti ketika jenama dan model berkenaan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.