Kia EV9 telah dilancarkan di Singapura dengan harga SGD289,999 (sekitar RM1 juta) tanpa COE. Ditawarkan dalam kemasan GT-Line, SUV flagship elektrik sepenuhnya jenama itu hadir dengan konfigurasi enam-tempat duduk sahaja, dengan dua pilihan kerusi kapten untuk barisan kedua.
Kia EV9 merupakan sebuah SUV saiz besar, dengan ukuran dimensinya adalah: 5,015 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,780 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,100 mm.
Yang dilihat dalam gambar ini adalah dalam versi kerusi yang boleh dipusing 180-darjah ke kanan untuk bertentang dengan kerusi belakang. Satu lagi pilihan ialah dengan kerusi yang boleh dipusing 90-darjah ke kiri. Semua kerusi dibaluti dengan material kulit vegan, dengan kerusi depan mempunyai liang udara.
EV9 dilengkapi antara lain dengan rim aero 19-inci, lampu luar LED, sunroof, gril dengan lampu dan corak piksel, pemegang pintu tersorok, cermin sisi digital, head-up display, kluster instrumen 12.3-inci digital, sistem dengan skrin sentuh 12.3-inci (Android Auto dan Appe CarPlay tanpa wayar), kawalan pendingin dengan corong di barisan kedua dan ketiga, pelancar pengecasan tanpa wayar, sistem bunyi Meridian 14-pembesa suara dan pintu ruang kargo berkuasa.
Bantuan keselamatan pemandu pula terdiri daripada lapan beg udara, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, Driver Steering Assist, Auto Evasive Steering Assist, peninjau titik buta dan penghindar perlanggaran, bantuan mengekalkan lorong dengan bantuan mengikut, monitor sekeliling serta AEB.
Untuk sistem janaan kuasa, EV9 menggunakan bateri 99.8-kWh lithium-ion polymer yang memberikan jarak perjalanan hingga 512 km mengikut standard WLTP. Pengcasan AC dan DC tersedia, dengan AC sehingga 11 kW (10-80% dalam masa lapan jam tujuh minit), sementara DC hingga 350 kW (10-80% Soc dalam masa 24 minit sahaja).
EV9 juga menggunakan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar untuk pacuan semua roda — dengan janaan 385 PS (380 hp atau 283 kW) dan 700 Nm tork. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam enam saat dan mencapai laju maksimum 200 km/j.
EV9 muncul pertama kali di pasaran Asia Tenggara di Indonesia pada Ogos tahun lalu dan dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, kerana ia sudah pernah dilihat di sini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.