GVT, yang merupakan sebuah anak syarikat GOAuto Group telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Yutong Bus dari China, untuk memasang (CKD) dan mengedarkan bas elektrik EEV dan EV di Malaysia.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh pengarah eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar, dan pengurus rantau Asia Pasifik Yutong, Michael Lu pada Februari 2023. Melalui kerjasama ini, GVT akan mempunyai 14 model bas EEV dan EV daripada Yutong dalam portfolio produknya. Syarikat itu turut memberitahu mereka sudah menerima tempahan rasmi sebanyak 40 unit untuk bas EEV.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, GVT memberitahu, pemasangan bas Yutong akan dibuat di kilang NexV Manufacturing yang sekarang sedang dibina di Kawasan Perindustrian Chembong, Negeri Sembilan. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kilang NexV Manufacturing itu adalah satu kerjasama antara Careplus Group dan GoAuto Group, dengan oeprasi yang akan bermula pada Q1 2025.
Bas Yutong direka dengan pelbagai kemudahan dan boleh memecut 0-30 km/j dalam masa 10 saat. Ia menggunakan bateri daripada CATL dan dipadankan bersama sistem Yutong Electric & Battery Safety Standard (YESS), serta RECTRL Intelligent Electric Drive System yang dapat membantu mengurangkan penggunaan kuasa dan menjaga jangka hayat bateri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.