Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB), syarikat usaha sama di antara Kumpulan Careplus Berhad dan Kumpulan Go Auto hari ini secara rasmi memulakan pembinaan kilangnya yang terletak di Chembong Industrial Area, Rembau, Negeri Sembilan.

Menurut syarikat tersebut, ini merupakan kilang pertama di Malaysia yang dibina khas bagi memproduksi kenderaan tenaga baharu (NEV), dan ia dijangka bakal beroperasi pada awal suku pertama 2025. Majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang berkenaan telah berlangsung pagi tadi dan perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun.

Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, dan ia bukan sahaja menghasilkan EV dalam bentuk kereta-kereta penumpang, malah turut bakal memasang kenderaan-kenderaan komersil serta motosikal yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Dari keseluruhan produksi, satu pertiga model yang akan dipasang di kilang ini adalah dari jenama Neta, termasuk Neta V yang telah pun dilancarkan dalam pasaran tempatan tahun lalu dan buat masa sekarang ia diimport sepenuhnya dari China. Manakala dua pertiga selebihnya ia dibuka untuk jenama-jenama lain yang berminat untuk menghasilkan model-model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

Antara jenama yang sudah mengesahkan untuk memasang EV mereka di kilang baharu ini termasuk pengeluar kenderaan komersil dari China iaitu Higer dan Yutong. Kedua-dua jenama berkenaan diedarkan di Malaysia oleh GVT Sdn. Bhd iaitu syarikat usaha sama antara W&R Resources Sdn Bhd dan Kumpulan Careplus Berhad. Buat masa sekarang kedua-dua jenama tersebut menghasilkan model-model CKD mereka menerusi kilang Go Automobile Manufacturing yang terletak di Gurun, Kedah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, NMSB menyatakan pembinaan kilang tersebut bakal menjana peluang pekerjaan dan pelaburan baharu di Negeri Sembilan serta kawasan-kawasan berhampiran. Fasa pertama projek ini merangkumi pembangunan kilang pemasangan, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun 2024.

Sementara itu, fasa kedua dan ketiga akan bermula pada tahun 2026 dan 2028, bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun. Jumlah pelaburan bagi pembangunan kilang ini adalah sekitar RM600,000,000.

Fasa ini juga akan mewujudkan lebih 600 pekerjaan mahir dan separa mahir dengan pengkhususan pembuatan EV, terutamanya dalam penggunaan teknologi pembuatan pintar, termasuk automasi, integrasi sistem (system integration), robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, IoT industri dan teknologi-teknologi lain seiring Revolusi Industri Ke-empat.

Kilang NMSB di Rembau bakal beroperasi  pada 2025 – kilang khas EV pertama di M’sia, pasang Neta V dll

NMSB turut mengumumkan bahawa proses pengambilan dan latihan tenaga kerja bagi kilang ini akan bermula seawal bulan Ogos 2024 kerana ia dijangka mula beroperasi pada awal 2025.

Bagi memastikan proses pembuatan dalam kilang ini selari dengan visi bagi mengurangkan tapak karbon, NMSB akan menggunakan pelbagai penyelesaian mesra alam bagi operasinya termasuk teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam kawasan kilang. Sebahagian besar tenaga yang digunakan di kilang ini dikuasakan oleh panel solar yang dipasang di bumbung kilang.

Menurut Pengerusi Go Auto, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, kilang ini turut akan menjalankan beberapa proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus bagi penyimpanan bateri EV di kilang berkenaan. Ia adalah bagi memastikan setiap kakitangan mampu mengendalikan bateri-bateri tersebut seiring dengan pengenalan teknologi-teknologi baharu yang akan diperkenalkan selepas ini.

“Kami berbangga dengan sokongan meluas yang diberikan kepada projek ini, dari kerajaan negeri dan juga persekutuan, yang menyumbang kepada kemajuan pemasangan tempatan dan lokalisasi yang pesat di dalam negara. Kami percaya ini adalah satu langkah signifikan ke arah menjana penerimaan dan kesedaran mengenai kenderaan elektrik di masa hadapan”, katanya.

Majlis yang sama turut menyaksikan pertukaran perjanjian CKD di antara Intro Synergy dan pemilik jenama Neta, Hozon New Energy Automobile Co. Ltd., sebagai kolaborasi bagi operasi CKD di Malaysia. NMSB juga menukar Persefahaman bersama Qingdao Huayue Guotai New Energy Car Co. Ltd. bagi meneroka peluang baharu bagi Kenderaan Tenaga Baharu di Malaysia dan ASEAN.

“Kami ucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa pusat dan tempatan, penduduk tempatan dah juga semua rakan perniagaan kami. Kami berharap dengan pemasangan model Neta V ini lebih ramai rakyat Malaysia dapat menerima dan menyokong produk keluaran dari Chembong ini”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Careplus, Lim Kwee Shyan.

NMSB menyatakan bahawa ia kini telahpun memperolehi Lesen Pengilangan sementara dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Oktober 2023. Baru-baru ini syarikat itu juga telah menerima Kebenaran Merancang bagi memulakan pembinaan kilang pembuatan ini dari Majlis Daerah Rembau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required