Lynk & Co telah mengeluarkan gambar teaser rasmi untuk model 07 EM-P, yang akan menjadi sedan saiz sederhana pertama jenama tersebut. Dalam barisan model sedia ada mereka, syarikat kerjasama Geely dan Volvo ini juga mempunyai sedan kompak yang dipanggil 03, sementara model lain adalah SUV, iaitu 01, 02, 05, 06, 08, dan 09.
Menurut laporan dari China, 07 EM-P akan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) Evo Volvo, dan menampilkan penggerak plug-in hybrid (PHEV) yang boleh menghasilkan sehingga 593 PS (585 hp atau 436 kW).
Platform ini juga turut digunakan pada SUV saiz sederhana 08 EM-P, yang datang dengan sistem PHEV dan menghasilkan kuasa sama seperti yang dijangka pada 07 EM-P. Pada 08 EM-P, penggeraknya terdiri daripada gabungan enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo bersama tiga motor elektrik.
Daripada aspek rekaan, 07 EM-P menggunakan garis-garis melengkung yang beralun dan di sebalik pelekat samaran tersebut kita boleh melihat tanda-tanda yang diambil daripada model konsep The Next Day yang diperkenalkan pada tahun 2022, termasuk lampu utama yang bersepadu dengan bampar hadapan serta garis lampu DRL panjang bersebelahan garis bonet.
Perincian lain yang boleh dilihat adalah bukaan udara bahagian bawah bampar yang besar, tiada gril tengah seperti kereta biasa, rim sporty serta pembuka pintu sama rata dengan badan. Buat masa sekarang masih belum ada gambar bahagian dalam dan kita perlu menunggu maklumat selanjutnya daripada Lynk & Co.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.