Jabatan Perdangangan dan Industri (DTI) Filipina telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 2,756 MPV tujuh-tempat duduk Toyota Avanza dan juga varian lebih mewahnya iaitu Toyota Veloz yang dijual di pasaran tersebut, berhubung masalah kimpalan yang dikesan terjadi di bahagian rasuk hentaman sisi yang terletak di dalam pintu depan sebelah kanan.
Menurut notis berkenaan, sejumlah 1,285 Avanza dan 1,471 Veloz yang terlibat dalam panggilan semula ini, di mana kesemuanya diproduksi bermula 3 November sehingga 24 November 2022.
Notis itu juga menyebut kimpalan yang tidak dibuat dengan betul pada rasuk hentaman sisi berkenaan berkemungkinan boleh menyebabkan kekuatannya ketika pelanggaran sisi berkurangan, dan dalam situasi paling buruk ia mungkin boleh menyebabkan kecederaan teruk kepada penumpang kerana rasuk tersebut tidak berfungsi seperti sepatutnya.
Untuk memperbaiki masalah berkenaan, Toyota akan memasang pendakap tambahan penguat dan memberikan kimpalan tambahan pada komponen yang terjejas tersebut. Segala pembaikkan untuk panggilan semula ini adalah percuma dan pemilik-pemilik Avanza serta Veloz yang terjejas perlu membawa kenderaan mereka ke pusat servis Toyota terdekat.
Walau bagaimanapun tiada sebarang pengumuman dari Toyota bagi mengesahkan sama ada panggilan semula ini berkaitan dengan dengan skandal penyelewengan ujian keselamatan Daihatsu yang dikesan tahun lalu atau tidak. Filipina menerima stok Avanza dan Veloz yang diimport dari Indonesia.
Disember lalu Astra Daihatsu Motor di Indonesia diberikan lampu hijau dari kerajaan republik berkenaan untuk meneruskan penyerahan kenderaan kepada pelanggan setelah pihak berkuasa mengesahkan keselamatan kenderaan-kenderaan yang diproduksi oleh Daihatsu di negara tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.