BYD kini telah melebarkan sayap ke Indonesia dengan pengenalan tiga model sekaligus — Dolphin, Atto 3 dan Seal. Ketika ini belum ada harga jualan yang disahkan, namun menurut laporan Otodriver, harga anggaran bagi Dolphin dijangka sekitar 400-450 juta rupiah (RM120k-RM136k), sementara Atto 3 di antara 500-550 juta rupiah (RM151k-RM166k).
Harga Seal pula dijangka antara 700-800 juta rupiah (RM211k-RM242k) untuk bersaing dengan Hyundai Ioniq 5. Bagi pasaran Malaysia, Atto 3 dan Dolphin sudah pun diperkenalkan, sementara bagi Seal pula telah dibuka untuk tempahan dengan penawaran tiga varian.
Bagaimanapun, BYD menyediakan spesifikasi penuh bagi semua model yang dinyatakan ini untuk pasaran Indonesia. Bagi Dolphin, dua varian diperkenalkan, iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range.
Kedua-duanya menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) oleh BYD. Bagi model Standard Range, ia menggunakan kapasiti bateri 44.9 kWh dan memberikan jarak hingga 410 km (NEDC). Motornya menghasilkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat.
Bagi Extended Range, ia menggunakan bateri dengan kapasiti 60.48 kWh dengan jarak hingga 490 km, dengan motor elektriknya menjana 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh saat. Kapasiti bateri lebih besar ini juga memberikan kapasiti pengecasan DC yang lebih tinggi iaitu 80 kW berbanding 60 kW untuk model standard, dengan pengecasan AC kedua-duanya sama 11 kW.
Untuk Atto 3, ada dua varian juga ditawarkan — Standard Range Advanced dan Extended Range Superior. Varian pertama ini menggunakan bateri 49.92 kWh dengan jarak 410 km (NEDC). Bagi varian tertinggi pula, baterinya 60.48-kWh dengan kemampuan pengecasan DC lebih tinggi, 88 kW berbanding 70 kW.
Kapasiti pengecasan bagi Atto 3 pula sama dengan 7 kW untuk kedua-dua varian. Motor elektriknya menjana kuasa sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm, dengan varian tertinggi sedikit lebih pantas: 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat berbanding 7.9 saat untuk varian lebih rendah.
Seal pula ditawarkan dalam tiga varian sama seperti di Malaysia. Ini terdiri daripada Dynamic, Premium dan Performance. Dynamic yang paling asas menggunakan bateri 61.44-kWh dengan jarak 510 km (NEDC), dengan motor di belakang menyediakan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW).
Premium pula menggunakan bateri lebih besar, 82.56 kWh dengan jarak 650 km (NEDC) dengan motor lebih berkuasa — 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm. Ini memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat, berbanding Dynamic dengan 7.5 saat.
Performance pula menggunakan dual-motor dengan tetapan pacuan semua roda dengan kemampuan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Motor depan menyediakan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 310 Nm, manakala motor belakang dengan 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm. Keseluruhan sistem ini menghasilkan sebanyak 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan 670 Nm.
Semua varian Seal mempunyai input AC maksimum 7 kW, dengan kemampuan pengecasan DC 110 kW untuk Dynamic dan 150 kW untuk Premium dan Performance. Ciri keselamatan aktif pula termasuk kawalan melayar adaptif dan AEB yang diberikan standard untuk semua varian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.