Ketika kebanyakkan pengeluar automotif mensasarkan untuk menjadi jenama yang hanya menjual kenderaan elektrik penuh (EV) menjelang tahun 2030, selari dengan usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penjualan kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman pada 2035, gergasi automotif Jepun iaitu Toyota pula meramalkan bahawa jualan EV hanya akan mencapai 30% dari keseluruhan jualan automotif global.
Perkara ini disebutkan oleh pengerusi Toyota, Akio Toyoda dalam ucapannya kepada 200 orang pengurus korporat dan eksekutif syarikatnya di Jepun yang menghadiri mesyuarat agong ke-40 Institut Pengurusan Sistem Produksi Baharu (NPS) Toyota yang berlangsung pada 13 Januari lalu.
Akio yang juga merupakan cucu kepada pengasas Toyota Motor Corporation serta pernah memegang jawatan presiden dan CEO Toyota sebelum ini menyatakan bahawa beliau percaya teknologi seperti hibrid, sel bahan api hidrogen dan juga enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen akan mengusai 70% selebihnya pasaran itu.
Menurutnya lagi bukan setiap negara akan melihat EV sebagai satu-satunya cara untuk mencapai neutraliti karbon, dan ia akan bergantung kepada situasi penghasilan tenaga negara tersebut.
“Walau bagaimanapun, satu bilion orang di seluruh dunia tinggal di kawasan tanpa bekalan elektrik. Dalam kes Toyota, kami turut membekalkan kenderaan kepada kawasan-kawasan ini, jadi [kenderaan elektrik bateri] tidak boleh dijadikan satu-satunya pilihan pengangkutan untuk semua orang. Sebab itulah saya akan menawarkan pelbagai pilihan dalam barisan model Toyota.
“Tidak kira berapa banyak kemajuan yang dicapai oleh [kenderaan elektrik bateri], saya rasa ia hanya akan mempunyai bahagian pasaran sebanyak 30%. Manakala 70% selebihnya adalah [kenderaan hibrid-elektrik], [kenderaan sel bahan api], dan enjin hidrogen. Saya rasa kereta dengan [enjin pembakaran dalaman] akan kekal,” kata Akio.
Dalam ucapan yang disiarkan oleh Toyota Times itu, Akio turut menyatakan bahawa beliau percaya perkara ini akan ditentukan oleh pengguna, dan bukan “nilai kawal selia atau kuasa politik”.
“Jepun mempunyai caranya tersendiri untuk melakukan sesuatu perkara. Saya tak rasa jawapan yang betul adalah meniru apa yang Barat buat dalam semua perkara. Saya percaya jika kita terus dipilih oleh pasaran dan pengguna, masa hadapan sudah pastinya akan berubah,” tegas Akio Toyoda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.