GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

Selain GAC GS3 Emzoom dan Aion Y Plus, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) turut mempertontonkan GAC Emkoo selaku model akan datang yang direncanakan untuk pasaran tempatan. Ia menampilkan rekaan futuristik yang menawan, misalnya melalui rekaan gril Borderless V-Shape yang elegan.

Dibangun menggunakan platform Global Platform Modular Architecture (GPMA), rekaan lampu utamanya juga unik, LED penuh yang dikenali sebagai “Eyes of Revelation”. Ini dilengkapkan lagi dengan rekaan bahagian belakangnya serta garis badan yang tajam, menunjukkan imej yang segar dan ingin menakluk.

GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

Tidak banyak perincian rasmi yang dikongsi setakat ini. Namun, dari segi ukuran, Emkoo merupakan SUV besar dalam segmen C, bakal bersaing misalnya dengan model seperti Proton X70. Dimensinya adalah seperti berikut — 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm.

Ini menjadikannya 270 mm lebih panjang, 51 mm lebih lebar dan 70 mm lebih tinggi berbanding GS3 Emzoom, dengan jarak antara rodanya juga 100 mm lebih panjang.

Jika dibandingkan dengan Proton X70, model Emkoo ini 161 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar, dengan jarak antara roda yang juga 70 mm lebih panjang. Ia bahkan hanya 11 mm lebih pendek berbanding Honda CR-V generasi keenam yang baru dilancarkan di sini. Emkoo bagaimanapun 35 mm lebih lebar dan 49 mm lebih panjang jarak antara rodanya berbanding CR-V.

GAC Emkoo 2024 dipertonton di Malaysia — SUV segmen C untuk lawan Honda CR-V, Proton X70

Di dalam, GAC Emkoo menampilkan kabin yang sarat dengan teknologi digital. Kluster instrumen dengan penampilan separa apungan misalnya menyuntik elemen moden dan canggih. Di pasaran China, Emkoo ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter turbocas petrol, serta 2.0 liter hibrid.

Malaysia mungkin akan menerima kapasiti enjin kecil berkenaan, dengan janaan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm tork dari 1,400 hingga 4,500 rpm — penggunaan minyaknya didakwa mampu capai 6.8 liter per 100 km (WLTP). Ini mungkin digandingkan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan. Unit yang ditunjuk ini bagaimanpun ialah versi CBU dan tidak menggambarkan unit sebenar yang akan dijual di Malaysia kelak. Perincian dan pengesahan lanjut berkaitan versi pasaran tempatan akan diumumkan nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required