Di negara jiran, Indonesia, Honda telah memperkenalkan sebuah skuter baru yang dipanggil sebagai Stylo 160. Ia diangkat sebagai sebuah skuter premium bergaya dan ditawarkan dalam dua versi, iaitu CBS atau ABS, dengan harga masing-masing 27.55 juta rupiah (RM8,306) dan 30.425 juta rupiah (RM9,173).
Beza antara dua versi ini seperti yang boleh diketahui melalui namanya adalah pada sistem brek, dengan versi ABS dilengkapi ABS one-channel pada cakera hadapannya (220 mm) dan brek belakang menggunakan tetapan cakera 220 mm. Versi CBS juga datang dengan brek cakera hadapan (tanpa ABS dan cakera 190 mm), tetapi brek belakang diubah kepada unit dram.
Stylo 160 dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 156.9 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan eSP+ sama seperti Vario 160 dan dipadankan bersama transmisi automatik V-Matic untuk menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan tork 13.8 Nm pada 7,000 rpm.
Selain penampilan yang elegan, skuter ini juga menawarkan pelbagai kelengkapan yang dikatakan sebagai premium untuk kelasnya termasuk semua lampu jenis LED, sistem kunci pintar, pengecas USB, serta meter digital penuh yang boleh memaparkan pelbagai informasi penting termasuk tahap bateri dan waktu penggantian minyak.
Untuk memberi kemudahan kepada pengguna, Stylo 160 datang dengan dua poket barangan serta penyangkut di bahagian hadapannya (bawah pemegang), sementara di bawah tempat duduk juga terdapat sedikit ruang barangan, yang menjadi kecil kerana tangki minyak lima liter turut berada di tempat sama.
Stylo 160 bergerak di atas rim 12 inci yang dibalut dengan tayar 110/90 di hadapan dan 130/80 di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada unit fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap di bahagian kiri untuk belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Admin.. Bila Honda Stylo 160 masuk Malaysia?