Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan bakal meningkatkan kadar cukai perkhidmatan dari 6% ketika ini kepada 8% bermula 1 Mac nanti. Ada beberapa kategori yang dikecualikan daripada kadar baru ini, termasuk F&B dan telekomunikasi, tetapi secara umumnya pengguna akan membayar lebih selepas peningkatan ini dilaksanakan.

Telah dijangka yang perkhidmatan berkaitan kenderaan dan baik pulih tidak tergolong dalam kategori yang terkecuali itu, maka kos penyelenggaraan kenderaan akan naik bermula 1 Mac ini. Ambil maklum bahawa cukai perkhidmatan dalam kes ini hanya terpakai untuk caj pekerja/buruh dan bukan ke atas alat ganti kenderaan.

Namun ada satu lagi perkara yang bakal menyaksikan pengguna kenderaan terpaksa membayar lebih selepas ini ialah untuk insurans kenderaan. Belum ada apa-apa yang diberi penekanan terhadap perkara ini, tetapi segmen berkenaan akan menyaksikan peningkatan 2% akan dikenakan ke atasnya, sama seperti semua insurans atau takaful perniagaan-kepada-pelanggan umum lainnya, tidak termasuk insurans kesihatan atau takaful kesihatan.

Adakah ini akan melibatkan peningkatan yang tinggi? Tidak juga, dan ia bergantung kepada pelindungan atau berapa yang perlu anda bayar untuk premium tersebut. Cukai perkhidmatan untuk insurans kenderaan dicaj berdasarkan jumlah premium yang dibayar — ini bermakna ia akan dikira berdasarkan jumlah selepas NCD, sekiranya ada.

Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

Sebagai contoh, lihat sebuah Honda CR-V 2023 dengan jumlah diinsuranskan sebanyak RM96,200 misalnya, cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah RM102.84 ke atas premium yang menelan kos RM1,713.97 (selepas tolak NCD 55%). Itu pada kadar 6%. Sekiranya premium berkenaan dikenakan cukai perkhidmatan 8%, maka jumlah cukainya adalah RM137.12, tambahan sebanyak RM34.27.

Satu lagi contoh adalah untuk sebuah Range Rover Sport, yang ketika ini melibatkan kos insurans RM5,997 (selepas 38.33% NCD). Cukai perkhidmatan yang terlibat ialah RM359.82, dan ini akan naik menjadi RM479.77 jika dikenakan kadar 8%, melibatkan kenaikan sebanyak RM119.95. Untuk kos servis pula, peningkatan yang mungkin terlibat tidaklah terlalu drastik (melainkan caj buruh kenderaan anda memang tinggi, misalnya untuk kenderaan mewah dan mahal).

Bagi pelaksanaan kadar cukai perkhidmatan yang baru ini, pengguna mungkin akan membayar lebih tinggi untuk insurans kenderaan sedia ada mereka jika perlindungan sedia ada mereka itu masih sah dan melepasi tarikh selepas 1 Mac nanti. Ini jika apa yang dinyatakan oleh FAQ Zurich Malaysia itu betul.

FAQ berkenaan menyatakan, cukai berkenaan akan dikenakan sebahagiannya ke atas polisi sedia ada, yang mana polisi dengan tempoh perlindungan dari Julai 2023 hingga Jun 2024 bakal menyaksikan perlindungan dari 1 Mac hingga hujung Jun 2024 itu akan dikenakan kenaikan cukai perkhidmatan tersebut.

Insurans kenderaan di M’sia naik dari 1 Mac bila cukai perkhidmatan 8% — insurans sedia ada juga terkesan

Tidak diketahui adakah sama ada ini akan dilaksanakan oleh semua syarikat penyedia insurans, tetapi nampaknya begitulah situasinya. MSIG juga membuat hantaran di laman Facebook-nya dengan pemerhatian ini:

“MSIG berhak mengutip cukai perkhidmatan yang belum dikenakan untuk polisi yang diproses sebelum 1 Mac 2024 yang mana tempoh insuransnya melangkaui tarikh 1 Mac 2024. Anda wajib membayar cukai yang terpakai termasuk (tetapi tidak hanya terhad kepada) cukai perkhidmatan dan duti stem yang dikenakan oleh pihak berkuasa cukai kerajaan Malaysia berkaitan polisi kami.”

Jika ini kesnya, bagaimana agaknya pemegang polisi akan membayar untuk pelarasan ini? Kami telah ajukan pertanyaan ini kepada PIAM, dan akan berkongsi maklum balas mereka kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required