Akan ada beberapa perubahan dilakukan terhadap cadangan projek light rail transit (LRT) di Pulau Pinang yang bernilai sekitar RM10 bilion, seperti yang diumumkan sebelum ini, jelas Ketua Menteri Chow Kon Yeow memetik laporan The Vibes.
Disebabkan itu juga, projek berkenaan berkemungkinan besar tidak akan dimulakan tahun ini disebabkan ada keperluan untuk menjalankan kajian dan penilaian lanjut, serta masukan pandangan daripada beberapa pihak berkepentingan yang terlibat.
Asalnya, projek LRT di Pulau Pinang ini direncanakan akan menghubungkan Komtar dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di bahagian selatan pulau itu. Ini kemudiannya dilanjutkan ke kawasan Tanjung Bungah yang terletak di utara pulau. Manakala cadangan sambungan laluan bawah tanah di Georgetown pula telah dibatalkan.
Laluan yang mungkin menggantikannya adalah jambatan antara pulau dan tanah besar, bagi membolehkan LRT tersebut merentang kawasan antara Georgetown dan Butterworth. Ini akan melibatkan sambungan laluan terus ke Penang Sentral, yang menjadi hab utama bagi bas ekspres, perkhidmatan e-hailing, dan tren KTMB bagi kawasan Utara tanah air.
Sebelum ini, projek berkenaan dikendalikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan pelantikan SRS Consortium sebagai peruncing sebelum projek itu diambil alih oleh MRT Corp.
Chow juga berharap agar pertimbangan terhadap projek ini boleh dimulakan segera, memandangkan ada banyak hal berkaitan teknikal dan kewangan yang perlu dikaji sebelum ia mula berjalan. “Kertas cadangan kabinet perlu dibentangkan sekarang untuk mendapatkan kelulusan dan panduan bagi langkah seterusnya,” ujar Chow.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.