Selepas ditunjukkan dikhalayak awam sejak awal tahun lalu, akhirnya Kei-Van Mitsubishi Minicab EV secara rasminya dilancarkan di Indonesia. Model berkenaan tidak diimport dari Jepun, sebaliknya dipasang secara tempatan (CKD) di Indonesia, dan secara rasminya ia dikenali sebagai Mitsubishi L100 EV di republik tersebut.
Operasi pemasangan kei-van EV berkenaan telah pun bermula di sana sejak Disember tahun lalu, dan Mitsubishi Motors Indonesia (MMI)) menyatakan bahawa L100 EV ini merupakan kenderaan komersil elektrik Jepun pertama di Indonesia. Sebelum ini ia telahpun digunakan oleh Pos Indonesia sebagai kenderaan operasi logistik di Nusantara, dan untuk versi yang baru dilancarkan untuk pasaran awam ini L100 EV dijual pada harga bermula 320 juta rupiah (RM97,791).
Model ini hanya ditawarkan dalam badan panel van dengan hanya dua tempat duduk di hadapan. Ia ini menampilkan dimensi 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar, 1,915 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,390 mm. Ruang kabin belakang tanpa tempat duduk menyediakan kapasiti kargo 1,830 mm panjang, 1,370 mm lebar dan 1,230 mm tinggi.
MMI juga menyatakan van ini mampu menanggung beban maksima 425 kg tetapi dengan hanya seorang pemandu di dalamnya. Jarak kelegaan rodanya pula adalah 165 mm, dan direka dengan radius pusingan hanya 4.3 meter membolehkan ia mudah dikendali di tempat sempit.
Untuk menggerakkan van ini, ia dilengkapi dengan hanya satu motor elektrik di belakang untuk memacu roda belakang, berkuasa 42 PS (31 kW) dan tork maksima 195 Nm, bagi membolehkan ia dipandu dengan kelajuan maksima 100 km/j. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion berkapasiti 20.1 kWj, yang memberikan jarak gerak sejauh 180 km dalam kitaran WLTC dengan satu cas penuh.
Bateri tersebut boleh dicas menerusi pengecas AC menggunakan penyambung Type 1, yang mengambil masa selama 7.5 jam untuk dipenuhkan. Ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (penyambung CHAdeMO) yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-80% dalam masa hanya 42 minit.
Antara kelengakapan standard yang dibekalkan untuk L100 EV pasaran Indonesia ini termasuk lampu hadapan halogen, rim besi 12-inci, penghawa dingin manual, dua beg udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Aktif, Traction Control dan juga sistem pengingat pemakaian tali pinggang keledar.
Kei-van panel ini hanya ditawarkan dengan warna badan White Solid. Manakala setiap pembelian akan diberikan waranti kenderaan selama lima tahun atau 100,000 km, waranti bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km, dan juga pakej SMART yang merangkumi penyelengaraan percuma (termasuk alat ganti) sehingga empat tahun atau 50,000 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.