Selepas ditunjukkan pada awal bulan ini menerusi pendedahan versi facelift 2024, Toyota Hilux dengan teknologi hibrid ringkas 48 Volt secara rasmi dilancarkan di Australia dan mula boleh dibeli di pasaran berkenaan bermula 1 Mac ini. Teknologi hibrid ringkas 48 Volt berkenaan secara rasmi digelar sebagai V-Active Technology, dan ia dipadankan secara standard pada varian SR5 dan Rouge 4X4, sementara pembeli untuk varian SR 4X4 double cab pula ia ditawarkan secara opsyen.
Sistem hibrid ringkas berkenaan menampilkan tiga komponen utama iaitu satu unit motor generator (sebelum ini dinyatakan berkuasa 16 PS dan tork 65 Nm) yang menggantikan tugas motor penghidup dan alternator konvensional, bateri 48 volt dan juga penukar arus DC/DC. Untuk enjin utama, Hilux ini masih menerima enjin turbodiesel 2.8 liter empat silinder berkuasa 204 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm.
Menurut Toyota, teknologi V-Active ini bukan hanya memberikan kemampuan pemanduan serta prestasi yang lebih baik dan menawarkan penggunaan bahan api lebih jimat, malah ia juga menampilkan aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih rendah dari varian tanpa sistem ini.
Menerusi sistem tersebut, motor elektrik akan membantu enjin diesel ketika memecut, membolehkan bebanan enjin direndahkan terutamanya ketika ia dikerah secara tidak efisien. Manakala ketika nyah pecut, fungsi motor berkenaan akan berubah menjadi generator bagi mengecas semula bateri 48 Volt tersebut, tetapi dalam masa yang sama masih memberikan rasa engine braking yang semula jadi.
Ia juga memberikan fungsi start/stop yang akan menghidupkan dan mematikan enjin ketika kelajuan melahu (idling). Fungsi ini dihasilkan dengan dua mod iaitu ‘Normal’ dan ‘Long’, di mana ketika mod ‘Long’ dipilih enjin akan dimatikan lebih lama dari biasa.
Toyota menyatakan dengan motor elektrik pada sistem V-Active ini, enjin dapat dihidupkan semula dengan cepat, senyap serta gegaran yang minima ketika fungsi auto start/stop itu digunakan. Kelajuan melahu enjin juga dapat direndahkan kepada hanya 600 rpm berbanding 720 rpm pada versi biasa, membolehkan enjin dihidupkan semula dengan mudah dan senyap ketika dalam kesesakan trafik.
Dalam situasi di mana kenderaan berada pada permukaan jalan menurun cerun, enjin juga masih boleh dihidupkan semua secara automatik dengan lancar, di mana sistem ini akan mengekalkan tekanan brek sehingga cukup tenaga tolakan dihasilkan bagi memberikan pecutan tanpa gangguan.
Secara keseluruhan, Toyota mendakwa bahawa V-Active Technology ini dapat memberikan penjimatan bahan api sehingga 10% lebih baik berbanding Hilux yang hanya dijana oleh enjin 2.8L turbodiesel biasa tanpa bantuan sistem elektrifikasi.
Dan bagi memastikan sistem elektrifikasi pada Hilux dengan teknologi V-Active ini tidak menggangu kemampuan meredah laluan off-road trak pikap berkenaan, unit motor generator tersebut diletakkan pada kedudukan yang agak tinggi dalam ruang enjin dan ia disahkan boleh meredah laluan berair dengan kedalaman tinggi.
Motor generator tersebut juga dihubungkan pada aci engkol enjin menggunakan tali sawat fabrik dengan rusuk berkekuatan tinggi, serta unit penegang tali sawat (belt tensioner) dengan dua lengan bagi memastikan ia tahan serta memberikan rintangan gelincir lebih baik ketika basah.
Bukan itu sahaja, setiap Hilux yang menerima sistem V-Active ini turut akan menerima sistem pemanduan laluan off-road Multi-Terrain Select (MTS), yang menawarkan enam mod yang boleh dipilih bagi memaksimakan cengkaman pada pelbagai permukaan jalan.
Dalam kedudukan gear High (H), MTS akan menyediakan mod Dirt, Sand, Mud, Deep Snow dan Auto. Manakala dalam gear Low (L), mod Dirt dan Deep Snow digugurkan, dan digantikan dengan mod Rock bagi membolehkan Hilux ini ‘merangkak’ untuk melepasi permukaan berbatu besar.
Dengan penambahan teknologi V-Active ini, Hilux SR Cab Chassis dijual pada harga bermula AUD54,130 (RM170k), atau hanya AUD1,025 (RM3.2k) lebih mahal dari versi yang tidak diberikan sistem tersebut. Manakala varian SR5 4X4 Double Cab yang datang standard dengan teknologi V-Active serta penambahan pengecas telefon pintar tanpa wayar dan dua penegecas USB-C untuk kabin belakang, ia dijual pada harga AUD60,580 (RM190k) atau AUD5,901 (RM18.5k) lebih mahal dari sebelum ini.
Semua varian utama Hilux 2024 pasaran Australia ini (kecuali varian WorkMate, SR Single Cab dan varian dijana enjin petrol) menerima rupa facelift baharu yang didedahkan tempoh hari. Ia dipadankan dengan gril baharu menampilkan elemen sarang lebah yang bersambung dengan bampar baharu direka dengan kemasan seperti diffuser di hadapan serta kemasan hitam menegak yang jelas pada perumah lampu kabus di tepi.
Semua varian pikap untuk Hilux 2024 pasaran Australia ini juga kini dibekalkan dengan perincian standard lebih baik seperti peredam dan bantuan mengangkat pada pintu bed belakang, serta penderia parkir hadapan dan belakang bagi model-model dengan transmisi automatik.
- 2024 Toyota HiLux SR5
- 2024 Toyota HiLux SR5
- 2024 Toyota HiLux SR
- 2024 Toyota HiLux SR5
- 2024 Toyota HiLux SR5
- 2024 Toyota HiLux
- 2024 Toyota HiLux
- 2024 Toyota HiLux SR5
- 2024 Toyota HiLux SR5
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.