Baru sahaja diperkenalkan dengan barisan warna baru Januari lalu, Honda RS-X kini ditambah dengan satu lagi warna, dipanggil sebagai Mat Ion Blue Metallic. Harganya masih sama iaitu RM9,798 tidak termasuk insurans.
Pilihan baru ini datang dengan warna utama biru matte dan diserikan dengan pelekat grafik yang juga berwarna biru serta sedikit bahagian berwarna hitam. Rim pula berwarna hitam.
Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.
Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (ABS diberikan standard), sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.