Model yang ditunggu-tunggu peminat kapcai di Malaysia, iaitu Winner X kini dilancarkan di Malaysia dengan nama RS-X. Ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna, iaitu kuning, biru dan merah Trico, pada harga jualan RM8,688 tidak termasuk insurans.
Sebelum pergi lanjut kepada spesifikasinya, kami ingin memberitahu bahawa RS-X pasaran Malaysia ini mempunyai keunikan tersendiri jika dibandingkan dengan Winner X pasaran Vietnam. Bahagian ‘kepala’ dan ekzosnya adalah berlainan, dan ia dilengkapi dengan ABS one-channel seperti varian tertinggi Winner X Sport ABS.
RS-X digerakkan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.
Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.