Wuling Bingo Plus diperkenal di China – EV dengan kuasa 102 PS, 180 Nm, jarak gerak sehingga 510 km

Wuling Bingo Plus diperkenal di China – EV dengan kuasa 102 PS, 180 Nm, jarak gerak sehingga 510 km

Wuling telah memperkenalkan Bingo Plus di China, sebagai satu pilihan bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih daripada Bingo biasa. Harganya bermula 89,800 yuan (RM59,012) untuk varian permulaan dengan jarak gerak 401 km (CLTC) dan pergi sehingga 98,800 yuan (RM64,926) untuk varian yang mempunyai jarak gerak 510 km.

Pengeluar China ini bagaimanapun tidak menyiarkan perincian sepenuhnya, dan varian jarak gerak jauh hanya dinyatakan mendapat bateri berkapasiti 50.6 kWh, iaitu jauh lebih besar berbanding Bingo biasa (paling besar 37.9 kWh).

Bingo Plus juga mempunyai motor elektrik hadapan yang lebih berkuasa, dengan kemampuan 102 PS (101 hp atau 75 kW) dan tork 180 Nm, sementara Bingo biasa cuma 68 PS (67 hp atau 50 kW) dan 125 Nm. Wuling menyatakan, Bingo Plus boleh melakukan pecutan 0-50 km/j dalam masa 3.7 saat, manakala pengecasan pantas DC boleh menaikkan kadar bateri dari 30-80% dalam masa 30 ke 35 minit.

Berkenaan saiz, Bingo Plus mencatat ukuran panjang 4,090 mm, lebar 1,720 mm dan tinggi 1,575 mm. Ia juga mempunyai jarak roda 50 mm lebih panjang berbanding Bingo biasa, iaitu 2,610 mm, tetapi masih dalam lingkungan yang hampir dengan pesaing terdekatnya di China, iaitu BYD Dolphin.

Rekaannya sama sahaja seperti Bingo biasa, tetapi ditambah dengan DRL LED pada lampu utamanya dan bukaan udara menegak di bahagian bucu bampar. Garis tingkap juga dilihat naik sedikit di bahagian belakang, manakala warna badan yang disediakan adalah Storm Gray, Aurora Green dan Quantum Black.

Bahagian dalam Bingo Plus dijadikan berbeza dengan Bingo biasa, dengan mendapat susun atur papan pemuka yang lebih ringkas dan dua skrin yang ada, iaitu panel instrumen 8.8 inci dan skrin sesentuh 10.1 inci untuk sistem infotainmen diasingkan (pada Bingo ia bersambung).

Wuling juga menyatakan badan Bingo Plus ini dibesarkan untuk memberi lebih ruang, termasuk 912 mm untuk kaki penumpang belakang, dan jarak lutut ke lutur 89 mm. Apabila tempat duduk belakang dilipat, ruang simpanannya menjadi 1,450 liter, jauh lebih tinggi berbanding Bingo yang cuma mencatat 790 liter. Sistem keselamatan yang disediakan pada Bingo Plus adalah termasuk empat beg udara, ESC, ABS, parkir automatik dan Hill Start Assist.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required