BYD Atto 3 MY2023 kini ditawarkan diskaun sebanyak RM20,000; Standard Range berharga RM129,800!

BYD Atto 3 MY2023 kini ditawarkan diskaun sebanyak RM20,000; Standard Range berharga RM129,800!

Selepas Chery Omoda E5 dilancarkan minggu ini dengan harga yang begitu kompetitif, perang harga EV antara jenama-jenama China nampaknya sudah bermula – ini dia, BYD Cars Malaysia telahpun mengumumkan bahawa stok model tahun 2023 Atto 3 varian Standard Range kini ditawarkan dengan diskaun RM20,000!

Ini bermakna SUV tersebut kini dijual pada harga hanya RM129,800 (tidak termasuk insuran dan bayaran atas jalan lain) berbanding harga asal RM149,800. Atto 3 Standard Range ini dibekalkan dengan bateri LFP 49.92 kWj yang memberikan jarak gerak 345 km (WLTP), berbanding Chery Omoda E5 yang dijual pada harga atas jalan RM146,800 tetapi dengan bateri LFP 60.48 kWj yang memberikan jarak gerak WLTP 430 km.

Harga yang ditawarkan ini juga mungkin memberikan satu lagi pilihan bagi pembeli yang mungkin sudah merancang untuk membeli varian tertinggi hatchback EV BYD Dolphin Premium Extended Range yang dijual pada harga RM125,730. Dengan hanya RM4,000 lebih mahal, Atto 3 Standard Range menawarkan ruang dan praktikaliti lebih luas, tetapi dengan jarak gerak lebih pendek berbanding Dolphin Premium Extended Range.

Sekali lagi diingatkan, rebat RM20,000 ini hanya untuk Atto 3 Standard Range bagi model tahun buatan 2023 sahaja, sehingga kehabisan stok. Namun kami diberitahu bahawa Atto 3 Extended Range yang lebih laris turut diberikan diskaun, tapi dalam jumlah berbeza.

Kedua-dua varian BYD Atto 3 pasaran Malaysia ini menerima motor elektrik tunggal memacu roda hadapan yang sama, menghasilkan 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. Selain dari bateri, varian ER turut menerima kelengkapan lebih baik seperti set rim aloi 18-inci (17-inci pada SR), penegcas pantas DC 80 kW (70 kW pada SR), pengecas tanpa wayar Qi, lapan pembesar suara, lampu suasana kabin pelbagai warna dan pintu tailgate bantuan kuasa.

Perincian lain yang dibekalkan standard untuk kedua-dua varian adalah termasuk lampu hadapan LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa, skrin sesentuh 12.8-inci yang boleh diputar, bumbung panaromik, fungsi V2L 3.6 kW serta sistem bantuan pemanduan dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

GALERI: BYD Atto 3 Standard Range

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required