Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Star, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dipetik memberitahu bahawa kajian pelaksanaan undang-undang lemon law untuk kenderaan akan dijalankan tahun ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dalam laporan itu berkata bahawa undang-undang ini akan memberi kelebihan kepada pelanggan untuk membuat tuntutan ganti rugi sekiranya kenderaan yang mereka beli rosak atau gagal mematuhi tahap kualiti atau prestasi yang dinyatakan oleh pengeluar.
“Apabila kajian itu sudah lengkap, keputusan polisi akan dibuat di peringkat kementerian sebelum rangka kerja sah dijalankan,” Armizan menjawab secara bertulis kepada ahli parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Lemon law merupakan satu bentuk perlindungan kepada pengguna. Ia meletakkan mana-mana kenderaan yang masih dalam tempoh jaminan yang dikesan mempunyai masalah, kerosakan atau tidak selamat agar dibaik pulih sepenuhnya oleh pengeluar. Dalam situasi kenderaan itu tidak boleh dibaik pulih selepas beberapa percubaan dilakukan, pembeli berhak ditawarkan pulangan wang atau kenderaan ganti.
Skop yang diliputi oleh lemon law ini bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan. Secara umumnya ia melibatkan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada fungsi dan keselamatan kenderaan. Negara seperti AS, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina telah melaksanakan undang-undang ini dalam bentuk yang tersendiri.
Armizan juga menegaskan bahawa di Malaysia, Akta Perlindungan Pengguna 1999 memang melindungi pengguna daripada kerosakan kenderaan. “Akta berkenaan melindungi pengguna dari beberapa sudut, walaupun ia bukanlah secara terang-terangan merupakan lemon law dan tidak menawarkan penyelesaian seperti pembelian semula kenderaan bagi kerosakan yang tidak boleh dibaiki. Ia menyediakan beberapa penyelesaian yang boleh diaplikasikan untuk masalah kenderaan bermasalah,” ujarnya.
Gesaan terhadap pelaksanaan lemon law di Malaysia bukanlah baru. Namun, kes terbaru yang melibatkan sebuah Perodua Bezza yang mengalami kerosakan dalam tempoh lapan jam selepas diserahkan kepada pemiliknya telah menarik lebih banyak perhatian umum.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.