Baru saja diperkenalkan di Thailand awal Februari lalu, Honda City Hatchback facelift sudah dijangka akan turut menghiasi pameran Bangkok International Motor Show 2024 Ke-45 yang bermula hari ini. Ia melibatkan sedikit pembaharuan penggayaan dan pertambahan kelengkapan, yang sama diberikan untuk model sedannya di sana.
Perubahan luaran yang ada termasuklah jalur krom lebih nipis di bahagian atas gril, yang kini hadir dengan corak mesh baru. Bampar depan juga diberi sentuhan lain, dan sedikit berbeza antara model RS dan yang bukan RS. Bagi RS, kemasan di bahagian lampu kabusnya lebih ketara, serta rekaan honeycomb mesh diberikan untuk bahagian bukaan udara bawah bampar.
Di bahagian belakang varian bukan RS pula diberikan kemasan hitam di bahagian bawah apron, bersekali dengan jalur panel warna badan, sementara model RS menerima rekaan diffuser yang lebih sporty serta perumah cermin sisi hitam — dan juga lencana khusus RS.
Lima varian ditawarkan semuanya untuk City Hatchback untuk pasaran Thailand; ada tambahan satu varian baru berbanding sebelum ini. Untuk enjin petrol, ia terdiri daripada varian S+ dengan harga 599,000 baht (RM77,850), diikuti SV dengan harga 679,000 baht (RM88,240) dan RS dengan harga 749,000 baht (RM97,330).
Tiga varian ini menggunakan enjin 1.0 liter tiga-silinder sebaris VTEC Turbo petrol yang menjana 122 PS (121 hp atau 90 kW) pada 5,500 rpm dan 173 Nm tork dari 2,000-4,500 rpm, dan digandingkan dengan CVT.
Dua lagi varian ialah e:HEV Hybrid, dengan gred SV baru, yang dijual dengan harga 729,000 baht (RM94,750). Varian e:HEV RS sedia ada pula — yang ditunjuk dalam gambar ini — diberikan potongan harga sebanyak 50,000 baht (RM6,500) dan kini dijual 799,000 baht (RM103,830).
Versi hibrid ini terus menggunakan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang terdiri daripada motor elektrik utama yang menjana 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 253 Nm tork yang disalurkan melalui transmisi kelajuan tunggal, dengan enjin kitaran Atkinson 1.5 liter empat-silinder DOHC i-VTEC petrol bertindak sebagai generator untuk mengecas baterinya.
Tiada sebarang perubahan aspek mekanikal diberikan untuk model facelift ini. Ia terus menjana kuasa sebanyak 98 PS (97 hp atau 72 kW) dari 5,600 hingga 6,400 rpm dan 127 Nm antara 4,500 hingga 5,000 rpm. Enjin ini juga boleh memberikan pacuan mekanikal dalam kelajuan tinggi.
Untuk ruang kabin, tidak banyak perubahan diberikan. Hanya versi hibrid telah ditukar ciri soket 12V untuk penumpang belakang dan digantikan dengan slot pengecasan USB-C. Kini juga ada poket kecil untuk telefon di belakan kerusi depan.
Semua varian City Hatchback facelift dilengkapi dengan Honda Sensing sebagai ciri standard, dengan ciri bantuan pemandu terdiri daripada Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM with LDW), Auto High-Beam (AHB), Adaptive Cruise Control (ACC) dan ciri baru Lead Car Departure Notification System (LCDN).
Untuk varian hibrid, tambahan ciri brek parkir elektronik turut melibatkan pertambahan fungsi Low-Speed Follow (LSF) untuk ACC. Warna luaran yang ditawarkan untuk varian RS menerima dua warba eksklusif — Brilliant Sporty Blue Metallic (dengan bumbung hitam) dan Ignite Red Metallic. Warna lain pula ialah Tafetta White (hanya S+), Platinum White Pearl (e:HEV RS, e:HEV SV, RS dan SV sahaja), Crystal Black Pearl, Meteoroid Gray Metallic dan Sonic Gray Pearl.
Honda City Hatchback facelift merupakan satu daripada dua model baru yang dijangka akan diperkenalkan oleh Honda Malaysia tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.